KUCHING - Pasukan Landas yang sinonim
dengan lumba perahu bukan sahaja berjaya merampas kembali gelaran Raja
Sungai Regata Sarawak yang pernah dimenanginya pada kali terakhir tahun
2010, bahkan berjaya menakluki Sungai Sarawak selepas memenangi tempat
pertama dan ketiga dalam satu perlumbaan sengit Regata Sarawak 2017 di
sini, petang semalam.
Landas yang berazam merampas kembali
kejuaraan Raja Sungai selepas tewas pada perlumbaan tahun lepas kepada
Cahaya Zen 2, berjaya melakukannya pada perlumbaan kali ini menerusi
Landas 11 dan Landas 31 dengan mempamerkan aksi bertenaga sejak dari
garisan permulaan lagi.
Landas 11 yang memulakan perlumbaan di
barisan ke 4 memulakan perlumbaan dengan bertenaga sambil diberikan
saingan Yayasan Sarawak yang bermula di barisan 12.
Selepas memasuki jarak 100 meter, kedua-dua perahu telah rapat antara satu sama lain hingga menuju ke garisan penamat.
Sampai di garisan penamat, Landas 11
yang berjaya mengekalkan momentum akhirnya berjaya menjadi perahu
pertama melepasi garisan penamat.
Tempat kedua dimenangi perahu Yayasan Sarawak yang telah memberi saingan yang cukup sengit kepada Landas 11.
Perlumbaan sejauh 1,500 meter itu
disertai 12 perahu dan merupakan acara yang ditunggu-tunggu orang ramai
pada setiap kali Regata Sarawak berlangsung.
Sementara itu, dalam kategori VIP perahu
yang dimiliki Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Baginda Sultan dan
Yang Di Pertua Negara Brunei Darulsalam Sultan Hasanal Bolkiah menepati
ramalan apabila perahu baginda berjaya muncul juara.
Lebih menarik lagi, baginda Sultan
Hasanal Bolkiah sendiri mengetuai pasukannya dalam perlumbaan ini suatu
yang tidak pernah disaksikan di mana-mana kejohanan perlumbaan perahu
panjang sebelum ini.
Manakala, perahu yang dimiliki Tuan Yang
Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak muncul naib juara dan tempat
ketiga disandang perahu Timbalan Ketua Menteri Sarawak 3.
Selain baginda sultan, Ketua Menteri
Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk
Abang Openg juga turut serta berkayuh menerusi perahu Yang Amat
Berhormat Ketua Menteri Sarawak.
Regata Sarawak yang dirasmikan pada 11
November lepas dan kemuncaknya pada Sabtu (semalam) dan hari ini berjaya
mengamit lebih 10,000 orang pengunjung dan merupakan acara tahunan
dalam kalendar pelancongan yang menjadi tarikan di seluruh negeri
Sarawak termasuk negara-negara jiran yang turut sama mengambil bahagian
dalam acara yang dipertandingkan.
Selain lumba perahu, turut diadakan di
sepanjang Regata Sarawak itu ialah perlumbaan ‘Dragon Boat Eye-Dotting’,
Festival Kraft dan ‘Sarawak Kitchen’ berenang di Sungai Sarawak,
menangkap itik dan banyak lagi.
Kredit: KLXpress Sarawak