Khamis, 23 Mac 2017

PENGASAS PEWARIS MALAYSIA 'AYAH PAQ' DITUDUH BUNUH PENGIKUT


Kajang: Pengasas Utama Pertubuhan Warisan Ketuanan Melayu Malaysia (PEWARIS), Jaafar Shaari didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas tiga kesalahan menyebabkan kematian seorang pengikutnya dan memiliki sepucuk pistol serta peluru tanpa lesen.

Tertuduh, Jaafar, 54, bagaimanapun, mengaku tidak bersalah sebaik ketiga-tiga pertuduhan terhadapnya dibacakan jurubahasa di hadapan Hakim Noridah Adam.

Mengikut pertuduhan, Jaafar didakwa melakukan perbuatan yang menyebabkan kematian Sahdan Ishak, 39, dan dakwaan kes itu dilakukan mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika disabit kesalahan.

Selain itu, Jaafar turut didakwa dengan dua lagi pertuduhan, iaitu memiliki sepucuk senjata api jenis Revolver dan sebutir peluru tanpa lesen sah.

Bagi kesalahan memiliki senjata api, dakwaan dikemukakan mengikut Seksen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 14 tahun dan sebat minimum enam kali.

Manakala bagi kesalahan memiliki peluru, dakwaan dibuat mengikut Seksyen 8 (a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya sekali, jika disabit kesalahan.

Kesemua perbuatan itu dilakukan antara jam 2.30 pagi hingga 3 pagi dan 10.40 pagi pada 10 Mac di rumah alamat No 35 Jalan Suakasih 2/2, Bandar Tun Hussein Onn, Batu 9, Cheras, Hulu Langat.
Mahkamah tidak membenarkan jaminan dan menetapkan 14 April ini sebagai sebutan semula kes.

Kredit: HMetro
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Mac 2017 @ 2:59 PM

SUKA CATATAN KMT DI ATAS TOK CUMA KLIK

Komen Ahli KMT