Putrajaya: Bahagian Hab Halal, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menafikan dakwaan Coklat Eyeglass With Candy mengandungi ramuan dari sumber haram seperti disebarkan pengguna media sosial.
Menerusi kenyataan dikeluarkan hari ini, Jakim menjelaskan adalah tidak benar dan timbul salah faham apabila pengguna tidak memerhati dengan jelas label sebenar yang tertera pada produk itu.
"Coklat Eyeglass With Candy keluaran Goodfood Industries Sdn Bhd adalah pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia yang masih sah sehingga kini.
"Justeru, jadilah pengguna bijak sebelum menyebar dan berkongsi sesuatu isu halal yang tular dengan merujuk pihak berwibawa supaya tidak terjebak ke dalam dosa fitnah sesama ummah," kata kenyataan itu.
Menurut Jakim status halal produk yang mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia boleh dilayari menerusi direktori halal www.halal.gov.my atau aplikasi telefon pintar MyJakim.