Rabu, 24 Mei 2017

Al-Quran Digital, Jam Kejut Sahur

Elakkan menghantar gambar makanan ke dalam instagram sebelum berbuka puasa
Pejam celik, sudah tinggal kurang tiga hari saja lagi umat Islam di seluruh dunia dijangka mula menunaikan rukun Islam ketiga.

Berpuasa sering dikaitkan sebagai bulan beribadat dengan pelbagai aktiviti lain dilakukan dan bukan saja setakat menahan lapar dan dahaga pada siang hari.

Memandangkan kita hidup pada zaman teknologi, sudah pasti ia juga boleh dikaitkan dengan aktiviti beribadat dan seharusnya menjadi pemangkin untuk menggandakan pahala pada bulan Ramadan yang mulia.

Kita ambil contoh mengenai gajet wearable atau peranti boleh pakai seperti jam pintar atau gelang yang boleh dikaitkan dengan bulan puasa.

Bulan puasa bukan saja dikaitkan dengan ibadat namun ia umpama serampang dua mata apabila ia bulan yang sesuai untuk mengurangkan berat badan dan meningkatkan kecergasan yang sudah pasti boleh dibantu peranti wearable.

Sifatnya yang mempunyai sensor mengesan langkah membolehkan pengguna menganggarkan kalori yang terbakar ketika atau selepas kita berjalan, jadi pada bulan puasa ini, ia bukanlah alasan untuk duduk bersenang lenang.

Bagi memastikan aktiviti bangun malam untuk beribadat pula, anda boleh mendapat manfaat daripada kebanyakan pengeluar wearable terbabit untuk menetapkan waktu tidur sesuai dan fungsi mengejutkan selepas sepertiga malam.

Di samping bangun malam untuk beribadat, ia juga bertindak memastikan waktu tidur yang cukup terutama selepas berpuasa pada siang hari dan memastikan diri kekal bertenaga pada waktu siang. Al-Quran digital pula menjadi tumpuan sekiranya pengguna mahu mengasingkan antara al-Quran dan aplikasi al-Quran dalam telefon pintar.

Ramadan kali ini mungkin masa yang sesuai untuk memanfaatkan teknologi paling dekat dengan kita seperti telefon pintar dan tablet di samping penggunaan gajet lain seperti al-Quran digital atau tasbih elektronik.

Terdapat lambakan gajet di pasaran dengan pelbagai jenama yang menggunakan pen sebagai peranti memainkan audio bacaan al-Quran bagi membolehkan anda mengaji di mana saja anda berada dengan bimbingan ‘ustaz’.

Bagaimanapun, pen yang dibangunkan perlu mendapat kelulusan daripada Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Kementerian Dalam Negeri (KDN) sementara terjemahannya pula disahkan Jakim.

Al-Quran dalam bentuk pen dapat membantu mereka yang mesra teknologi untuk belajar serta mendapat manfaat daripada set yang mengandungi al-Quran berkod serta pen pintar.

Pada kebiasaannya, pengguna turut dibekalkan kad mengandungi 114 surah dan kad 26 doa harian, buku Iqra dan pakej amalan solihin terdiri daripada surah Yasin, Asmaul Husna dan AlMa’thurat.
Pen pintar yang ada membolehkan pengguna mendengar bacaan dengan mudah.

Ia direka untuk membaca teks dan imej yang dikodkan dan dicetak di atas kertas, kemudian menukarkan data berkenaan kepada suara atau bunyi. Saiz pen yang kompak memudahkan ia dibawa ke mana saja dan menjadikan proses pembelajaran lebih menarik serta berkesan.

Selain itu, bulan puasa juga memberi kemeriahan apabila bazar Ramadan mula dibuka bagai cendawan tumbuh selepas hujan.

Kunjungan ke bazar membeli makanan yang menjadi rutin ketika berbuka memang dinantikan, namun masalah timbul sekiranya kita tiba di bazar awal untuk membeli makanan. Sebaik saja pulang, makanan pula sudah sejuk, ditambah lagi waktu berbuka masih lama.

Jadi, teknologi seperti beg pemanas makanan (thermal insulated bag) menjadi pilihan jika anda mahu ke bazar Ramadan, sekali gus mengekalkan panas murtabak, roti john dan banyak lagi makanan pada bulan Ramadan.

Secara tidak langsung, anda juga boleh menjadi individu yang mesra alam apabila mengurangkan jumlah penggunaan plastik.

Lagipun, beg pemanas makanan tidak mahal harganya iaitu kira-kira RM10 hingga RM50 bergantung kepada saiz dan boleh digunakan untuk jangka masa lama.

Ramadan juga mengajar kita untuk mengurangkan aktiviti ‘online’ yang tidak mendatangkan faedah sama ada secara sedar ataupun tidak.

Misalnya, apabila waktu berbuka hampir tiba, semakin galak kita sibuk merakam foto makanan dan menghantarnya ke dalam Instragram.

Sebaiknya kita perlu mengelak terlalu melekat di depan telefon pintar dengan mengemas kini Facebook atau laman sosial lain dan sibuk menaip status tidak bermanfaat secara panjang lebar kerana waktu yang ada lebih sesuai untuk melakukan ibadat.

Tidak dilupakan, jangan pula membiarkan orang tua di kampung keseorangan pada bulan Ramadan apabila si anak hanya sibuk di grup WhatsApp tanpa menghiraukan keadaan ahli keluarga.

Selain itu, jangan lupa untuk menggunakan mod senyap pada telefon pintar ketika solat Tarawih. Pesanan terakhir, walau secanggih mana pun telefon anda, jika ia tidak mampu untuk tetapkan ‘alarm’ untuk bangun bersahur atau bertahajud, tak guna juga!

Kredit by: Afiq Hanif (HMetro)
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Mei 2017 @ 3:39 AM

SUKA CATATAN KMT DI ATAS TOK CUMA KLIK

Komen Ahli KMT