Jurnal Pembangunan Belia Malaysia 1 (Disember) 2008: 1 – 13
TURIMAN SUANDI, NOBAYA AHMAD, EZHAR TAMAM & AZIMI HAMZAH
ABSTRAK
Makalah ini membincangkan isu dan cabaran yang bakal dihadapi
oleh belia menjelang 2057, iaitu selepas 100 tahun negara Malaysia
mencapai kemerdekaan. Antara cabaran yang dijangka akan dihadapi
oleh belia ialah cabaran dalam pendidikan dan pembangunan modal
insan yang juga menjadi teras pembangunan negara dalam Rancangan
Malaysia Kesembilan (RMK-9). Makalah turut mencadangkan beberapa
langkah untuk memperkasakan belia dalam menghadapi cabaran semasa
dan masa depan
PENGENALAN
Kebelakangan ini kita sering didedahkan dengan pelbagai isu membabitkan
golongan belia yang dianggap sebagai aset terpenting sesebuah negara. Ini
seolah-olah memberikan tanggapan yang negatif terhadap golongan muda
ini. Belia sebenarnya mempunyai potensi tinggi untuk memberikan sumbangan
positif terhadap diri sendiri, keluarga dan masyarakat. Walaubagaimanapun,
kebanyakkan mereka yang bermasalah adalah kerana tidak mendapat bimbingan
sewajarnya bagi menyerlahkan potensi sebenar mereka. Belia, melalui bimbingan
dan dorongan mampu menjadi rakan pembangunan negara. Sebaliknya, tanpa
bimbingan mereka boleh menimbulkan permasalahan. Pembangunan modal
insan yang komprehensif, holistik dan seimbang sangat diperlukan bagi
menghadapi pelbagai masalah sosial cabaran lain yang kebanyakannya
melibatkan golongan muda.
Dalam konteks belia sebagai modal insan dan rakan pembangunan masyarakat
dan negara, Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK–9) memberikan fokus
terhadap pengupayaan belia dalam meningkatkan memberikan fokus terhadap
pengupayaan belia dalam meningkatkan peranan mereka dalam membangunkan
masyarakat, memupuk perpaduan dan membina negara dan bangsa. Justeru,
barisan pelapis atau modal insan yang berkualiti daripada segi fizikal, intelektual
dan spiritual perlu diwujudkan selaras dengan firman Allah S.W.T. di dalam
surah An-Nisa’ ayat 9 yang bermaksud:
“Dan mereka seharusnya takut kepada Allah, andainya meninggalkan
di belakang mereka zuriat (generasi) yang lemah”
|