Isnin, 17 Oktober 2016

Jambatan Batang Sadong Akan Terus Dipantau


Pengguna diminta memaklumkan JKR jika terdapat keperluan penambahbaikan jambatan
SADONG JAYA: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof meminta pengguna Jambatan Batang Sadong yang baharu dibuka mulai semalam memberi maklum balas kepada kementerian melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sekiranya terdapat keperluan penambahbaikan jambatan tersebut.
Menurutnya, maklum balas daripada pengguna penting dalam membantu memantau keadaan jambatan sepanjang 1.48 kilometer yang menelan kos sebanyak RM211,385,628.60 itu dari semasa ke semasa.
“Kebiasaannya kita akan memantau selama dua bulan dan dari situ nanti kita akan dapat maklum balas daripada pengguna, kalau ada perlu penambahbaikan kita akan buat dan sekiranya tidak ia terus dibuka untuk kegunaan orang awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Praperasmian Jambatan Batang Sadong yang merupakan jambatan terpanjang pertama merentasi sungai di Malaysia di pekarangan jambatan itu di sini semalam.
Mengulas lanjut mengenai jambatan itu, Fadillah berkata, pihaknya telah dimaklumkan bahawa audit teknikal sudah mengesahkan bahawa Jambatan Batang Sadong selamat dan boleh dibuka kepada orang ramai.
Malah, beliau memberitahu bahawa selepas mengadakan tinjauan di jambatan berkenaan mendapati terdapat keperluan untuk penambahbaikan di tempat lorong pejalan kaki.
“Bila kita berjalan ada perkara-perkara kecil yang kita perlu tambah baik yang boleh mendedahkan khususnya risiko kepada orang berjalan kaki.
“Yang mana kita perlu tambah baik ada beberapa perkara yang telah kita tegur tadi dan untuk itu saya hendak berterima kasih kepada JKR Sarawak yang menjadi agensi teknikal memantau projek ini,” tambahnya.
Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya memberitahu, Jambatan Batang Sadong dijangka akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.
“Jambatan ini sebahagian daripada aku janji Perdana Menteri dengan sokongan Ketua Menteri atas permintaan pemimpin masyarakat kita dari peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta pemimpin masyarakat setempat.
“Maka, jambatan ini dilaksanakan dan sebab itu kita mahu memberi penghormatan kepada Perdana Menteri dan Ketua Menteri sendiri untuk merasmikan, kita berharap kita akan tetapkan tarikh ini nanti,” katanya.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo, ADUN Simunjan Awla Dris, ADUN Lingga Simoi Peri,Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak Zuraimi Sabki dan Residen Samarahan Abdul Rahman Sebli Senusi.
Sementara itu, menurut Temenggung Chek Bujang, Jambatan Batang Sadong merupakan impian penduduk khususnya di kawasan Sadong Jaya, Simunjan dan Sebuyau.
“Ia sangat istimewa untuk kami penduduk di sini kerana banyak membantu memudahkan lagi sistem perhubungan dari segi menjimatkan masa daripada menggunakan perkhidmatan feri.
“Inilah yang kita amat nanti-nantikan dan akhirnya tercapai jua. Kami sangat gembira,” ujarnya.

Kredit: UB

SUKA CATATAN KMT DI ATAS TOK CUMA KLIK

Komen Ahli KMT