Khamis, 18 Mei 2017

TERCUCUK BESI PAGAR RUMAH CUBA DICEROBOH

DARAH: Kesan darah pada besi pagar rumah jurutera terbabit.
KUCHING: Padah menimpa seorang lelaki yang terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) selepas tangannya tercucuk besi pagar sebuah rumah yang cuba dicerobohnya dalam satu insiden kelmarin.

Ketua Polis Daerah ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, satu laporan dibuat oleh seorang jurutera selepas menemui kesan tompokan darah di sekitar tiang pagar rumahnya di Jalan Demak di sini, sekitar jam 8 pagi Selasa lepas.

Menurutnya, jurutera terbabit juga menemui selipar tersangkut di pintu pagar rumahnya dengan besi penghadang yang bengkok.

"Bagaimanapun, tiada barang-barang berharga dilaporkan hilang dari rumah jurutera terbabit dan hasil siasatan membawa kepada penahanan seorang lelaki berusia 27 tahun berasal dari Kampung Pulo Hulu.

"Suspek ditahan oleh anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) IPD Kuching semasa dia sedang menerima rawatan akibat kecederaan di tangannya dipercayai akibat tercucuk besi pagar rumah jurutera terbabit,' katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.

Difahamkan, sebuah lagi rumah milik seorang doktor bersebelahan rumah jurutera terbabit juga disyaki telah diceroboh suspek.

"Selain itu, semakan rekod juga mendedahkan suspek mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Suspek sehingga berita ini ditulis semalam dilaporkan masih menerima rawatan di HUS dan akan direman untuk membolehkan siasatan di bawah Seksyen 447 Kanun Keseksaan dijalankan.

Kredit: UB

SUKA CATATAN KMT DI ATAS TOK CUMA KLIK

Komen Ahli KMT