Khamis, 16 Ogos 2012

PARLIMEN SANTUBONG BAKAL MEMILIKI 3 KLINIK KESIHATAN 1MALAYSIA

KUCHING: Parlimen Santubong bakal memiliki tiga Klinik Kesihatan 1Malaysia dengan melibatkan lokaliti di ketiga-tiga kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu di Kampung Tabuan Melayu (DUN Demak Laut), Kampung Bintawa Melayu (DUN Pantai Damai) dan di kawasan Sebat (DUN Tanjung Datu).

Ahli Parlimen Santubong Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pembinaan ketiga-tiga klinik tersebut telah diluluskan oleh Menteri Kesihatan Datuk Seri Liow Tiong Lai baru-baru ini.
“Beliau (Liow) telah mengadakan perjumpaan dengan saya pada 9 April lepas dan memberitahu bahawa cadangan saya untuk pembinaan tiga Klinik Kesihatan 1Malaysia di Parlimen Santubong telah diluluskan.

“Ini adalah berita gembira untuk semua rakyat di konstituensi Santubong dan saya berharap kemudahan ini akan memberikan manfaat kepada rakyat pelbagai bangsa dan agama di kawasan terlibat sekali gus mengelakkan kesesakan di klinik kerajaan yang lain,” katanya.

Pengumuman tersebut dibuat oleh Wan Junaidi ketika berucap pada majlis ‘Lan Minum Petang Ngan Datuk Wan Junaidi’ bersama penduduk Kampung Tabuan Lot, di sini semalam.

Wan Junaidi yang juga Timbalan Speaker Dewan Rakyat berkata, tapak untuk Klinik 1Malaysia di Tabuan Melayu dan Bintawa Melayu sudah pun dikenal pasti.

“Bagi Kampung Tabuan Melayu, saya mencadangkan supaya ia (Klinik 1Malaysia) dibina bersama dengan Klinik Ibu dan Anak memandangkan kepadatan penduduk yang tinggi di kawasan tersebut dan juga kedudukan tapak klinik yang luas serta selesa.

“Klinik 1Malaysia untuk Tabuan Melayu dan Bintawa Melayu dijangka akan mula beroperasi pada bulan Jun 2012,” katanya.

Bagaimanapun, bagi kawasan Tanjung Datu, Wan Junaidi berkata ia dijangka bermula agak lewat kerana masih dalam proses mengenal pasti tapak yang sesuai.

Klinik 1Malaysia baharu diusahakan oleh Wan Junaidi pada April ini namun bertuah kerana mendapat kelulusan segera adalah susulan daripada kejayaan beliau membangunkan konstituensinya.

Sejak awal 2011 hingga Mac 2012, Wan Junaidi hanya memfokuskan untuk mendapatkan peruntukan bagi pembinaan 121 projek infrastruktur asas seperti pembinaan jeti pejalan kaki, jalan premix kampung, parit dan saliran air serta banyak lagi dengan nilai hampir RM16 juta.

Selain itu, beliau juga berjaya mendapatkan peruntukan untuk bina baharu dan naik taraf sebanyak 30 masjid dan surau yang bernilai RM10 juta.

Sementara, pada majlis santai anjuran JKKK, PBB dan Surau Darussalam Kampung Tabuan Lot yang diadakan di Surau Darussalam Kampung Tabuan Lot, Wan Junaidi turut menyampaikan peruntukan sebanyak RM150,000 untuk membekal lampu, bekalan air dan elektrik serta kerja naik taraf di dewan Kampung Tabuan Lot.

Beliau juga mengumumkan bahawa kerajaan persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM83,000 untuk menaik taraf dan pendawaian elektrik baharu bagi Surau Darussalam Kampung Tabuan Lot.
 
Sumber:namaberita.com
23 APRIL 2012

SUKA CATATAN KMT DI ATAS TOK CUMA KLIK

Komen Ahli KMT