Jumaat, 24 Jun 2016

Rampasan Gajet Tiruan Pertama Seumpamanya di Sarawak


MIRI: Sejumlah 37 unit telefon bimbit, tablet dan ‘power bank’ tiruan menggunakan jenama Samsung bernilai RM17,012 berjaya dirampas melalui serbuan yang diadakan di sini semalam.
Timbalan Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Sarawak Abdul Hafidz A. Rahim berkata, rampasan terbabit merupakan yang pertama di Sarawak tahun ini membabitkan tiga premis di sekitar Miri dalam serbuan berasingan yang dilakukan pada jam 11.50 pagi.
“Tiga pasukan disertai 10 pegawai membuat pemeriksaan di tiga premis masing-masing di kawasan Beautiful Jade Centre, Jalan Brooke dan China Street.
“Hasil serbuan tersebut mendapati penjual meletak harga tiruan terbabit sama dengan harga asli jenama Samsung termasuk Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) bagi meyakinkan pembeli bahawa produk yang dijual asli,” katanya pada sidang media di sini, petang semalam.
Menurut Hafidz, pihak Samsung telah melakukan risikan sendiri sebelum memaklumkan kepada pihak KPDNKK.
Katanya melalui hasil risikan terbabit, KPDNKK telah mendapati produk yang dijual adalah tiruan seperti yang dilaporkan dan premis yang menjual dipercayai telah beroperasi lebih enam bulan.
“Kita kini sedang menyiasat dari mana mereka mendapatkan bekalan tiruan berkenaan dan dari mana bekalan terbabit dibawa masuk ke Sarawak,” ujarnya.
Jelas beliau, jika disabit kesalahan, pesalah boleh dikenakan denda RM100,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya mengikut Akta Perihal Dagangan 2011, Seksyen (5) 1(b).
Sehubungan itu, beliau turut menasihatkan pengguna agar berhati-hati ketika membeli telefon bimbit dan memastikan terlebih dahulu sama ada ianya asli atau tiruan.
“Pastikan juga anda sebagai pembeli diberikan tempoh jaminan (Warranty Card) oleh penjual untuk mendapatkan pengesahan produk dibeli adalah yang asli,” katanya.
Tambahnya, KPDNKK memandang serius terhadap kegiatan berkenaan dan akan terus membanterasnya bagi tujuan melindungi harta intelek.

Kredit: The Borneo Post Online

SUKA CATATAN KMT DI ATAS TOK CUMA KLIK

Komen Ahli KMT