Khamis, 28 April 2016

Tiga Pengawal Keselamatan DiCekup Kurang 24 Jam

DICEKUP: Suspek dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
KUCHING: Tiga pengawal keselamatan berjaya dicekup kurang daripada 24 jam selepas dipercayai merompak sebuah kedai makan di pusat bandar raya ini, semalam.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Sarawak SAC Dev Kumar berkata, seorang daripada suspek yang berusia 22 tahun berjaya ditangkap semasa melakukan jenayah tersebut, manakala dua lagi ditahan di rumah masing-masing petang semalam.
Menurutnya, ketiga-tiga suspek semasa merompak kedai makan yang beroperasi 24 jam tersebut dikatakan bertopeng dan bersenjatakan pisau serta besi sekitar jam 4.30 pagi semalam.
“Suspek terdahulu menyerbu masuk ke dalam kedai tersebut dan terus mengarahkan seorang pekerja (wanita) menyerahkan wang sebelum menampar mukanya dan serentak itu, seorang lagi suspek memecahkan mesin tunai.
“Insiden tersebut disedari oleh orang ramai (pelanggan) selepas mendengar bunyi bising dari dalam kedai dan seterusnya b
erjaya menangkap seorang daripada suspek, manakala dua lagi berjaya melarikan diri bersama hasil rompakan,” katanya.
Tambah Dev, suspek yang mengalami kecederaan ringan di muka ketika cuba melarikan diri kemudian dihantar ke Hospital Umum Sarawak (HUS) bagi mendapatkan rawatan, sebelum dibawa ke balai polis untuk siasatan lanjut.
“Sepasukan Unit D9 IPK Sarawak kemudian melakukan satu serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Semenggok dan berjaya menahan seorang lelaki berusia 34 tahun serta menjumpai sampul surat berisi wang tunai RM251 dipercayai hasil rompakan.
“Pada jam 2 petang tadi (semalam), pasukan menahan seorang lagi suspek berusia 24 tahun dari sebuah rumah di Bandar Baru Samariang,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Ketiga-tiga suspek yang pernah memohon untuk menyertai pasukan polis bantuan kini ditahan reman untuk siasatan lanjut serta mengesan senjata yang digunakan dalam kejadian itu.
Sehubungan itu, Dev menyampaikan penghargaan kepada orang awam yang berani dan pantas menangkap suspek semasa kejadian tersebut berlaku serta pasukan Unit D9 yang cekap menjalankan tugas.
Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Kredit Info by Borneo Post

SUKA CATATAN KMT DI ATAS TOK CUMA KLIK

Komen Ahli KMT