Dayang
Esah Tandang Sari, nama ini tidak asing lagi kisah sejarah penting di
daerah ini dan sungai Batang Saribas. Dayang Esah tandang Sari ini
merupakan kerabat Sultan Brunei suatu ketika dahulu. Dan Dayang Esah
Tandang Sari ini mempunyai kisah dan lagendanya tersendiri. Berhampiran
dengan makam Dayang Isah Tandang sari tersebut terdapat juga Makam
Pengiran Temenggung Abdul Kadir. Pengiran Temenggung Abdul Kadir
merupakan seorang wakil pemerintahan dari Kesultanan Brunei yang
mentadbir daerah Pusa disuatu ketika dahulu.
Makam Dayang Isah Tandang Sari |
Pada zaman dahulu sebelum kedatangan Rajah Brooke, ada sebuah daerah di Negeri Sarawak bernama Saribas. Daerah tersebut dikatakan terletak di bawah kekuasaan Sultan Brunei.Sultan Brunei menghantar wakilnya untuk memerintah daerah-daerah yang jauh dari Brunei.Bagi daerah Saribas,Sultan Brunei menghantar seorang wakilnya iaitu Datuk Temenggong Kadir. Datuk Kadir dan isterinya pun tinggallah di Saribas.Pusat pemerintahannya terletak di sebuah tempat bernama Tandang Sari (sekarang tempat ini bernama Pusa).
Datuk
Temenggong menjalankan pemerintahannya dengan adil dan saksama.Dia
dikasihi oleh rakyat Saribas. Datuk Temenggong Kadir telah lama
berkahwin.Isterinya, bernama Dayang Siti Hajar.Tetapi perkahwinan mereka
selama tujuh tahun itu belum lagi dikurniakan seorang anak. Datuk
Temenggong Kadir dan isterinya,selalu berdoa agar mereka dikurniakan
cahaya mata.Walaupun mereka hidup bahagia tetapi mereka selalu merasa
kesunyian kerana tidak mempunyai anak.
Pada
suatu malam,seperti biasa selepas sembahyang dan berdoa,Datuk
Temenggong Kadir pun tidur.Dalam tidurnya itu, dia telah bermimpi,dia
telah mendengar satu suara. Datuk Temenggong Kadir tidak tahu dari mana
arah suara itu datang.Suara itu berkata:“Wahai Temenggong Kadir, aku
kasihan melihat kamu berdoa.Kamu kesunyian.Aku ingin menolong kamu
berdua.Ikutlah apa yang aku katakan ini! Esok kamu pergilah ke hulu
Sungai Tandang Sari. Di sana ada serumpun buluh betong.Potonglah buluh
betong itu. Di dalamnya ada sebiji telur.Ambil telur itu dan simpanlah
baik-baik”.
Selepas
mendengar suara itu Datuk Temenggong Kadir pun terjaga dari
tidurnya.Dia tidak dapat melelapkan matanya lagi kerana memikirkan
arahan dari suara itu.Dia tertanya- tanya benarkah apa yang dikatakan
oleh suara di dalam mimpinya itu. Atau cuma syaitan yang ingin
mengganggunya? Datuk Temenggong Kadir pun mengejutkan isterinya dan
menceritakan mimpinya itu.Isterinya menasihatkan Datuk Temenggong Kadir
agar menurut apa yang disuruh oleh suara itu.
Keesokan
harinya, Datuk Temenggong Kadir pergi ke hulu Sungai Tandang Sari.Dia
pergi seorang diri dengan menaiki perahu koleknya,dan membawa pedang
saktinya “Gempetar Alam”.Dalam perjalanannya itu, matanya meliar ke kiri
dan kanan memerhatikan kalau- kalau ada rumpun buluh betong seperti
yang dikatakan di dalam mimpinya itu. Akhirnya, dia bertemu dengan pokok
buluh betong itu.Hatinya berdebar-debar. Dengan tidak membuang masa
lagi,Datuk Temenggong Kadir pun mengikat perahunya dan naik ke darat.Dia
terus memotong pokok buluh itu.Sekali tetak sahaja pokok buluh itu
terus putus.Benarlah, terdapat telur di dalam batang buluh betong
itu.Datuk Temenggong Kadir mengambil telur itu dengan berhati-hati lalu
dibawanya pulang.
Sampai
di rumah, telur itu disimpan baik-baik. Pada malam itu,apabila dia
tidur,disimpannya telur itu di sebelah kiri kepalanya.Apabila menjelang
tengah malam,tiba-tiba mereka terjaga kerana mendengar suara budak
menangis.Datuk Temenggong Kadir mendapati telur tersebut telah
pecah.Tahulah dia bahawa budak itu lahir dari telur itu. Walaupun mereka
berasa sangat terkejut akan kejadian itu tetapi mereka gembira.
Sekarang mereka telah mempunyai seorang anak perempuan. Sejak dari
tengah malam itu, sampailah ke pagi,mereka tidak tidur kerana sibuk
dengan anak yang baru menjelma itu.Mereka berdua sangat bersyukur kepada
Allah kerana telah dikurniakan anak, walaupun bukan anak kandungan
mereka.
Budak
perempuan itu dinamakan Dayang Isah.Apabila sudah dewasa,Dayang Isah
amat cantik rupa parasnya dan tiada tolok bandingnya pada zaman
itu.Ramai lelaki yang terpandang akan kecantikan rupa paras Dayang Isah
terus jatuh cinta dan ingin memilikinya.Ramai pemuda di daerah Saribas
berbunuh-bunuhan kerana berebut hendak memperisterikan Dayang
Isah.Nampaknya kecantikan Dayang Isah dirasakan oleh penduduk Saribas
sebagai satu bencana pula.Datuk Temenggong Kadir tidak juga berasa
senang dengan keadaan itu. Dia ingin mengahwinkan Dayang Isah dengan
seberapa segera.
Antara
pemuda yang gagah perkasa dan disegani oleh penduduk di Tandang Sari
ialah Abang Bunut.Abang Bunut ialah pemuda harapan Datuk Temenggong
Kadir.Dia seorang pemuda yang peramah,jujur,bersopan santun dan berbudi
bahasa.Tingkah laku dan ketrampilan Abang Bunut telah memikat hati
Dayang Isah.Oleh kerana Abang Bunut bekerja di istana Datuk Temenggong
Kadir,maka dia sering bersua muka dengan Dayang Isah.Dari situ,lahirlah
perasaan cinta yang sangat mendalam di antara mereka berdua.Mereka pun
berkasih-kasihan dan seolah-olah tidak ada sesuatu pun yang dapat
memutuskan hubungan antara mereka berdua. Tambahan pula perhubungan
mereka direstui oleh Datuk Temenggong Kadir dan isterinya.
Pada
suatu malam Datuk Temenggong Kadir bermimpi. Dalam mimpinya itu, dia
telah mendengar suara yang sama di dalam mimpinya dulu.Kali ini suara
itu berkata: “Wahai Temenggong Kadir! Dengarlah kata-kataku ini. Dayang
Isah telah dewasa dan telah menjadi rebutan ramai pula.Sesiapa yang
hendak memperisterikan Dayang Isah mestilah menyediakan sepuluh kati
emas sebagai mas kahwin”
Datuk
Temenggong Kadir pun terjaga dari tidurnya. Dia berasa resah dan susah
hati mengingatkan kata-kata dari suara di dalam mimpinya itu.Dia
terkenangkan Abang Bunut yang diketahuinya sangat menyintai Dayang Isah,
begitu juga Dayang Isah.Walaupun Datuk Temenggong Kadir sangat berkenan
dengan Abang Bunut untuk menjadi menantunya tetapi Abang Bunut seorang
pemuda yang miskin, dan sudah pasti tidak dapat menyediakan mas kahwin
sebanyak sepuluh kati emas itu.
Keesokan
harinya,Datuk Temenggong Kadir memberitahu isterinya akan mimpinya
itu.Mereka berdua sangat berasa sedih.Mereka terpaksa patuh dengan
arahan suara itu kerana mereka yakin bahawa mimpi itu benar.Mereka
mengambil keputusan untuk memberitahu anaknya Dayang Isah dan juga Abang
Bunut. Kedua-duanya berasa sangat kecewa setelah diberitahu. Abang
Bunut tahu dirinya tidak terdaya untuk menyediakan mas kahwin sebanyak
sepuluh kati emas walaupun berusaha bertahun-tahun lamanya. Maka
tingggallah mereka berkasih- kasihan begitu saja,makan hati berulam
jantung.
Diriwayatkan,ada
seorang saudagar Bugis dari Palembang,bernama Nakhoda Khar,hendak pergi
berniaga ke negara Brunei.Dalam pelayarannya dari Palembang ke
Brunei,dia dan anak-anak buahnya singgah di muara Sungai Saribas.Pada
masa dia singgah itulah dia mendengar cerita dari penduduk di situ
tentang kecantikan Dayang Isah di Tandang Sari,maka timbullah niat di
hatinya memperisterikan Dayang Isah.Nakhoda Khar memang sanggup memenuhi
syarat menyediakan mas kahwin sebanyak sepuluh kati emas kerana dia
seorang yang kaya.
Dengan
tidak membuang masa lagi, Nakhoda Khar pun pergilah meminang Dayang
Isah.Pada mulanya Datuk Temenggong Kadir keberatan untuk menerima
pinangan itu kerana dia tidak mahu orang luar berkahwin dengan
anaknya.Tetapi apabila dia melihat Nakhoda Khar sanggup memberi sepuluh
kati emas sebagai mas kahwin,maka pinangan itu pun diterimanya.Datuk
Temenggong terpaksa patuh dengan arahan suara yang didengarnya di dalam
mimpinya tempoh hari.
Selang
beberapa hari bertunang,maka upacara perkahwinanpun berlangsung.Dayang
Isah sedikit pun tidak berasa gembira.Dia menangis kerana masih kasihkan
Abang Bunut.Begitu juga dengan Abang Bunut,tujuh hari tujuh malam
berendamkan air mata.
Setelah
genap sebulan menjadi suami isteri, Nakhoda Khar pun meminta izin
daripada Datuk Temenggong Kadir untuk berniaga di Brunei.Di hari baik
bulan baik Nakhoda Khar pun belayarlah menuju ke Brunei bersama
anak-anak buahnya. Apabila sampai di Pulau Burung, barulah Nakhoda Khar
teringat yang kerisnya tertinggal, maka ditinggalkan kapalnya di situ
sahaja dan berpatah balik dengan mengayuh sampan seorang
diri.Sesampainya ke muara Sungai Saribas, hari sudah pun malam.
Dalam
perjalanan menuju ke istana, Nakhoda Khar terasa sesuatu yang tidak
menyenangkan hatinya lantas dia mempercepatkan langkahnya.Sesampai di
istana, Nakhoda Khar terdengar suara isterinya,Dayang Isah sedang
bergurau senda dengan Abang Bunut.Maka timbullah rasa marah dan cemburu
yang tidak terkira di hati Nakhoda Khar,lalu dibacanya jampi ilmu
tidur.Selepas jampi itu dibaca maka tidurlah seisi istana.Lalu Nakhoda
Khar mengambil kerisnya lalu menikam Abang Bunut dalam tidurnya,matilah
Abang Bunut. Selepas itu, Nakhoda Khar pun keluar meninggalkan istana
dan menuju ke sampannya,dan terus berkayuh ke arah kapalnya yang sedang
berlabuh di Pulau Burung.
Pada
keesokan harinya,Dayang Isah dan seisi istana terkejut melihat kematian
Abang Bunut. Dayang Isah sedar telah banyak nyawa yang terkorban hanya
kerana kecantikannya.Dia takut andai dia hidup lebih lama lagi maka akan
bertambah ramai lagi yang akan terkorban lalu Dayang Isah mengambil
keputusan untuk membunuh diri.Dia pun mengambil keris lalu menikam
dirinya beberapa kali tetapi tidak lut.Setelah gagal berbuat demikian
maka Dayang Isah mengambil tujuh helai rambutnya yang panjang mengurai
lalu diikatnya di leher hingga mati.
Setelah
melihatkan perkara itu,maka Temenggong Kadir berasa amat marah.Dia tahu
kejadian itu semuanya angkara Nakhoda Khar lalu dia pun menaiki perahu
koleknya bersama Lancang Mayang untuk mengejar Nakhoda Khar.Perahu
koleknya terlalu laju seperti naga lapar,pengayuhnya selebar tiga hasta.
Akhirnya sampailah dia ke kapal Nakhoda Khar.Dia terus menghunus pedang
saktinya yang bernama Gempetar Alam,lalu dipotongnya kapal Nakhoda Khar
lalu terputus dua. Dan Nakhoda Khar serta semua anak buahnya mati lemas
di Pulau Burung.
Selepas
dari itu Datuk Temenggong Kadir pun baliklah untuk menguruskan mayat
anaknya, Dayang Isah yang dimakamkan berhampiran dengan makam Abang
Bunut. Menurut orang yang empunya cerita ini,makam Dayang Isah itu masih
terdapat hingga sekarang ini di Pusa, Saribas dalam Bahagian Kedua
Sarawak.
Kredit: Pusat Internet 1Malaysia, Beladin Sarawak