Jumaat, 23 September 2016

Edisi Ke-8 Sibu International Base Jump 2016 Telah Bermula



SIBU: Aksi pemanas badan penerjun Edisi Ke-8 Sibu International Base Jump 2016 telah bermula di Wisma Sanyan di sini, semalam.
Seramai 52 penerjun dari 15 buah negara masing-masing melakukan cubaan untuk terjunan sebelum bermulanya terjunan rasmi acara tersebut hari ini (23 September) hingga 25 September.
Acara tahunan itu diadakan di Dataran Bandar Sibu Fasa I bersebelahan Wisma Sanyan dianjur Jawatankuasa Petugas Pelancongan Bahagian Sibu (DTTG) dengan kerjasama pelbagai agensi kerajaan disokong oleh Kementerian Pelancongan dan Warisan.
AKSI LASAK: Dua penerjun sedang melakukan terjunan dari puncak Wisma Sanyan di Sibu, semalam.
Sibu International Base Jump pada kali ini disertai 47 peserta lelaki dan lima penerjun wanita sekali gus jumlah terbesar dengan jumlah 52 penerjun sejak ia diadakan buat kali pertama pada tahun 2009.
Penerjun paling muda berusia 22 tahun dari Belgium iaitu Corentin Parmentier, sementara paling tua berusia 60 tahun dari Malaysia iaitu Kapten Abdul Aziz Ahmad.
Penerjun-penerjun adalah dari Australia, Belgium, Kanada, Denmark, Perancis, Jerman, Ireland, Itali, Belanda, New Zealand, Rusia, Switzerland, United Kingdom, Amerika Syarikat dan Malaysia.
LEGA: Aksi salah seorang penerjun yang sedang menuju ke kawasan pendaratan.

Edisi kelapan Sibu Base Jump catat jumlah penyertaan terbesar dengan 52 penerjun
Seperti tahun sebelumnya, mereka juga melakukan terjunan pada waktu malam pada malam ini (23 September) dan malam esok (24 September) dari jam 7 malam hingga jam 9 malam.
Penasihat Teknikal Sibu Base Jump 2016 Gary Cunningham dari Australia dan Presiden Persatuan Base Jump Malaysia Kapten Abdul Aziz Ahmad telah berada di sini untuk membantu pihak penganjur dalam memastikan acara tersebut berjalan lancar dan selamat seperti yang dirancang.
Orang ramai dinasihatkan untuk menjauhi kawasan Dataran Bandar Sibu Fasa 1 iaitu kawasan pendaratan penerjun untuk keselamatan mereka dan juga para penerjun.
Majlis perasmian Sibu International Base Jump 2016 dijadual berlangsung pada 24 September (esok) pada jam 8 pagi dengan upacara ‘miring’ di pentas utama Dataran Bandar Sibu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dudong Datuk Tiong Thai King dijangka merasmikan majlis tersebut.
Terjunan oleh peserta pada hari pertama (23 September) dan hari kedua (24 September) akan bermula pada jam 8 pagi hingga jam 12 tengah hari dan disambung pada jam 2 petang hingga jam 5 petang, manakala terjunan malam dijadual bermula pada jam 7 petang hingga jam 9 malam.
Pada 25 September, para penerjun akan dibawa ke Rumah Mathew Chuat di Skim Penempatan Semula Nanga Tada, Kanowit selepas melakukan terjunan terakhir mereka pada jam 5 petang.
Seperti pada edisi yang lepas, terjunan malam berjaya menarik perhatian orang ramai memenuhi Dataran Bandar Sibu Fasa 1, khususnya di hadapan pentas utama.
Sibu BASE Jump bermula pada 2009 memperlihat peserta melakukan terjunan dari atas bangunan Wisma Sanyan setinggi 126 meter, sebelum mendarat di Dataran Bandar Sibu Fasa I.
RAKAM: Seorang wanita sedang merakamkan detik terjunan yang dibuat oleh dua penerjun.
RAIKAN: Salah seorang penerjun dipeluk oleh temannya sebaik selamat mendarat di Dataran Bandar Sibu Fasa I, semalam.

KEJAYAAN BERSAMA: Para penerjun meraikan kejayaan mereka selepas masing-masing berjaya melakukan pendaratan.

Kredit: Utusan Borneo

SUKA CATATAN KMT DI ATAS TOK CUMA KLIK

Komen Ahli KMT