Jumaat, 17 November 2017

Jutawan Muntah Paus


SEORANG nelayan di Bengkulu, Indonesia, menjadi jutawan segera selepas menemui ketulan seperti lilin yang disangkanya sampah namun sebenarnya muntah ikan paus yang berharga ribuan ringgit satu kilogram.
Banjarmasin Post melaporkan, nelayan itu, Sukardi, dari Kabupaten Kaur, dikatakan sudah menjual 150 kilogram dengan harga 22 juta rupiah sekilogram membolehkannya mendapat 3.3 bilion rupiah (kira-kira RM927,000).
Dia masih mempunyai 200 kilogram yang mahu dijualnya dengan harga 30 juta rupiah sekilogram yang akan memberinya enam bilion rupiah (RM1.85 juta).
Muntah ikan paus digunakan dalam pengeluaran kosmetik dan pewangi agar bau wangian itu kekal lama menyebabkan harganya mahal dan sesetengah saintis menggelar ia emas terapung.
Pada 2016, nelayan Oman menjual 80 kilogram muntah paus ditemuinya dengan harga AS$2.5 juta (RM10.4 juta nilai sekarang) Pada 2013, seorang lelaki di Britain menemui ketulan 2.7 kilogram muntah paus di pantai Lancashire yang dianggar bernilai £100,000 (RM549,623 niai sekarang).
Menurut laporan Kompas, Sukardi menemui muntah paus atau juga dikenali sebagai ambergis itu terapung di laut antara antara Pulau Dua dan Pulau Enggano pada 2 November lalu.
Menurutnya, dia menemui muntah paus berwarna putih itu berselerak di lautan ketika sedang menangkap ikan.
“Saya sangka objek putih ini sampah dan mengutip memasukkannya ke dalam bot kerana mahu membersihkan laut.
“Sampai di rumah, saya melayari Internet dan baru sedar ia adalah muntah paus yang mahal harganya,” katanya.
Menurutnya, ketika dipegang muntah paus itu terasa seperti lilin dan apabila dibakar, ia menyala dan cair seperti lilin.
Sejak berita penemuan muntah ikan paus itu tersebar, dia menerima banyak panggilan telefon daripada beberapa individu yang mahu membelinya.
“Saya masih simpan 200 kilogram di rumah dan bersedia menjual sekiranya ada yang menawarkan harga yang berpatutan,” jelasnya.

Info by AGENSI
Kredit: Harian Metro

SUKA CATATAN KMT DI ATAS TOK CUMA KLIK

Komen Ahli KMT