Isnin, 4 Jun 2018

PBB Masih Relevan Dipertahankan, Membentuk Perikatan Sarawak Bukan Baharu Dalam Sejarah


Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) akan kekal. Ia tidak akan berubah setiap kali pantai berubah. Sebab PBB dibangunkan atas ikatan perpaduan dan muafakat pimpinan terdahulu, yang percaya negeri ini hanya dapat dimajukan hanya dengan persefahaman.
Tiada parti tempatan sekukuh PBB. Malah PBB lebih kukuh daripada UMNO.
Dan lebih penting, PBB adalah perakam suara rakyat Sarawak.Lihat sahaja perjuangan dan keberanian PBB selama ini.
Siapakah yang menyuarakan hak Sarawak Perjanjian Malaysia 1963? Siapakah yang melaungkan keadilan untuk pembangunan Sarawak? Dan siapa yang menuntut royalti minyak dikembalikan, sebelum ditukar ganti dengan kaedah yang lebih menguntungkan!
Mungkin dalam pemilihan Perhimpunan Agung PBB yang lalu kebanyakan jawatan tidak dipertandingkan. Hanya Naib Presiden Bumiputera.
Namun ketika itu, ia berlaku disebabkan hasrat sesetengah pemimpin dalam parti yang berusia 45 tahun ini memperlihat solidariti.
Selepas ini, dengan perkembangan politik terkini, PBB pasti akan lebih terbuka. Pemimpin baharu dan segar akan mengambil alih, dan proses ‘talent scouting’ akan dirancakkan.
Justeru hasrat sesetengah individu yang mahu melihat PBB berkubur, atau ditukar, adalah sesuatu yang harus ditolak. Harus ditanya, siapa mengusul? Dan kenapa mereka mengusul? Adakah mereka ahli parti? Atau golongan kecewa dalam parti.
Dalam menangani tsunami politik negara pada PRU14, yang dikhuatiri turut melanda Sarawak dalam tempoh tiga tahun akan datang, PBB harus mengukuh diri. Benteng perlu diperkemas.
PBB sebagai parti tempatan jenama Sarawak perlu mengubah diri dengan lebih merakyat. Ya jenama ini perlu ditukar secepat mungkin.
Perlu untuknya membebaskan diri daripada bayangan Barisan Nasional, kerana ia tidak lagi relevan dalam konteks hari ini. Ya, tiada lagi BN.
Barisan Nasional ditubuhkan pada 1970 selepas Perikatan lebur pada 1969.
Dan selepas 48 tahun, BN pula yang lebur. Inilah masanya PBB dan parti-parti sekutu membina kekuatan baharu. Tidak perlu fraksi, tetapi mengukuh dalam sempadan Sarawak. Kedudukan ini pasti dapat memberikan suara yang kukuh.
Ini adalah pilihan terbaik, dan tidak salah. Kerana yang penting, PBB dapat mewakili nurani rakyat. Membangunkan Sarawak semampu mungkin, dan menyelesaikan masalah yang tidak berkesudahan.
Abang Johari pasti melihat pelbagai sudut sebelum pertimbangan ini dibawa ke tengah. Justeru biarlah kita sebagai rakyat bersabar, kerana pemimpin yang bijak tidak akan membuat keputusan terburu-buru. Marilah kita menanam keyakinan terhadap Ketua Menteri untuk membuat keputusan sebijak mungkin.
Pengalaman politik beliau pasti membantu dalam memastikan keputusan itu kelak tidak menjejaskan masa depan Sarawak.
Keluar daripada BN bukan bermakna kita kacang lupakan kulit. Juga tidak bermakna kita melupai jasa parti itu. Tetapi ia adalah langkah survival, kerana rakyat sudah sedar diri, betapa negeri ini boleh berdiri sendiri. Dan memesrai siapa yang menjadi kerajaan hari ini. –Sarawakvoice

SUKA CATATAN KMT DI ATAS TOK CUMA KLIK

Komen Ahli KMT