SERIAN: Enam sekeluarga ‘ditawan’ selepas rumah mereka di sini dimasuki sekumpulan lelaki yang dipercayai warga Indonesia, dalam satu kejadian di Kampung Lintang Baru, di Pancor, Batu 28, Jalan Kuching-Serian awal pagi kelmarin.
Dalam kejadian kira-kira jam 2.30 pagi itu, kesemua mangsa dikatakan sedang nyenyak tidur sebelum dikejutkan dengan kehadiran empat lelaki yang bertopeng muka.
Kumpulan itu menggeledah rumah mangsa sebelum melarikan pelbagai barang seperti komputer riba, telefon bimbit, barang kemas, jam tangan, wang tunai serta sebuah kenderaan jenis pikap.
Ketua Polis Daerah (KPD) Serian DSP Aswandy Anis berkata, kejadian itu turut menyaksikan kumpulan berempat tersebut bersenjatakan pisau yang dipercayai diambil dari rumah mangsa.
“Dalam kejadian itu, empat lelaki bertopeng muka tersebut mengikat ahli keluarga seramai empat orang yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita manakala dua lagi kanak-kanak tidak diganggu,” katanya ketika dihubungi bagi mengesahkan kejadian tersebut.
Polis telah menjalankan siasatan di tempat kejadian dan operasi menjejaki kumpulan perompak berkenaan sedang giat dijalankan.
Kredit: UB