NAHAS: Seorang maut manakala tiga lagi cedera parah dalam kemalangan jam 12.30 pagi semalam. |
KUCHING: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera parah dalam satu kemalangan membabitkan dua motosikal di Batu 5, Jalan Matang-Malihah di sini, awal pagi semalam.
Mangsa meninggal dunia dikenal pasti sebagai Mohd Tarmizi Bujang, 20, dari Kampung Semerah Padi yang menunggang motosikal bersama seorang remaja berusi 15 tahun.
Seorang lagi penunggang motosikal yang berusia 21 tahun bersama pembonceng turut mengalami kecederaan parah dalam insiden sekitar jam 12.30 pagi tersebut.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak DSP Alexson Naga Chabu berkata, kejadian itu dipercayai berlaku semasa motosikal ditunggang mangsa bersama rakannya bergerak dari arah pasar Matang menuju ke arah Malihah.
“Semasa motosikal mangsa hendak masuk simpang, berlaku perlanggaran dengan motosikal yang datang dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Alexson berkata, akibat perlanggaran itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Tiga lagi mangsa yang mengalami cedera parah katanya, sedang menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak.
Kes itu masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh Pegawai Penyiasat Trafik Padawan Inspektor Malvin Andrew.
Kredit: UB