Isnin, 27 Ogos 2012

KIBAR JALUR GEMILANG BUKTI IDENTITI SEBENAR MASYARAKAT MAJMUK

 
 
KUCHING: Rakyat khususnya di negeri ini digesa mengibarkan Jalur Gemilang sepanjang Bulan Kemerdekaan ini.
      Perkara itu ditegaskan oleh Ahli Parlimen Batang Sadong Nancy Shukri yang memberitahu ia penting bagi menunjukkan identiti sebenar keutuhan perpaduan rakyat Malaysia walaupun hidup dalam masyarakat majmuk.
     Jelasnya, untuk itu ia memerlukan kerjasama semua pihak untuk memeriahkan sambutan Hari Kemerdekaan dengan mengibarkan bendera Malaysia di setiap kediaman dan kawasan masing-masing.
     “Kita perlu mengibar Jalur Gemilang bagi menunjukkan identiti kita sebagai orang Malaysia yang hidup dalam perpaduan rakyatnya walaupun berbilang kaum.
“Jadi peranan ini perlu dilakukan oleh semua peringkat masyarakat terutama pemimpin-pemimpin di peringkat kampung, badan bukan kerajaan (NGO), pemimpin politik dan juga wakil-wakil jabatan untuk memberi kesedaran terutamanya dalam kalangan generasi muda,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya di kediamannya di Jalan Matang Baru di sini semalam.
     Nancy berkata, amalan ziarah-menziarahi pada musim Hari Raya Aidilfitri harus dimanfaatkan untuk mengukuhkan lagi perpaduan antara satu sama lain tanpa mengira bangsa dan agama bagi mengekalkan keharmonian rakyatnya.
   “Sambil kita meraikan Hari Raya Aidilfitri, kita juga menyambut Hari Kemerdekaan dan ini satu peluang terbaik untuk kita menunjukkan perpaduan kita dalam kalangan masyarakat majmuk di Malaysia khususnya di Sarawak ini,” kata Nancy lagi.
Pada masa sama, beliau memberitahu dengan mengibarkan Jalur Gemilang ia dapat menunjukkan kesetiaan terhadap negara Malaysia.
   “Pada zaman dahulu kita meraikan kemerdekaan negara dari penjajahan dan sekarang kita sudah tidak dijajah jadi apa yang perlu lakukan sebagai rakyat Malaysia yang menyayangi negara, kita perlu menunjukkan perpaduan supaya tidak berlaku perpecahan dalam kalangan kaum atau bangsa yang ada di negara ini.
   “Bagi menunjukkan kesetiaan, kita perlu mengibarkan Jalur Gemilang dan ini juga satu peluang kita menunjukkan kesamaan kita tanpa mengira kefahaman politik atau apa sahaja,” tegasnya.
Justeru, beliau berharap rakyat di negera ini khususnya di Sarawak terus mempertahankan perpaduan dan keharmonian bagi mengekalkan toleransi masyarakatnya yang berbilang kaum.




SUKA CATATAN KMT DI ATAS TOK CUMA KLIK

Komen Ahli KMT