Masyarakat Disaran Lakukan Pemeriksaan Kesihatan Awal
AHAD, 8 JANUARI 2022
KUCHING: Masyarakat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Demak Laut disaran merebut peluang melakukan pemeriksaan kesihatan awal menerusi program saringan kesihatan secara percuma anjuran Sihat Sarawakku dengan kerjasama Pusat Khidmat N.5 Demak Laut dan SABERKAS Cawangan Demak Laut sepanjang bulan Januari ini.
Pemeriksaan kesihatan awal penting untuk dilakukan bagi mencegah penyakit yang lebih serius terutama bagi individu di bawah umur 40 tahun yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap penyakit tidak berjangkit seperti serangan jantung, darah tinggi dan kencing manis yang tidak menunjukkan tanda-tanda simptom awal.
Justeru, usaha seumpama ini digalakkan kerana mampu mencegah penyakit yang lebih serius.
Melalui program yang telah ditetapkan ini juga membolehkan masyarakat setempat tidak perlu pergi ke hospital atau klinik bagi membuat pemeriksaan kesihatan.
Timbalan Menteri Tenaga dan Kelestarian Alam Sekitar Sarawak, Dr Hazland Abang Hipni meluangkan masa meninjau program saringan kesihatan yang diadakan di Dewan Dato Sri Wan Junaidi, Kampung Tabuan Lot di sini pada Ahad.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Demak Laut berpuas hati dengan perkhidmatan yang disediakan oleh para petugas dan sememangnya menyokong inisiatif murni seumpamanya yang dapat membentuk masyarakat yang sihat, cergas dan produktif.
Sepanjang program ini, masyarakat boleh mengambil bahagian dalam pemeriksaan fizikal, pengukuran tekanan darah, ujian komposisi badan (BMI) dan ujian komosisi badan.
Di samping itu, peserta yang layak di bawah skim PEKAB40 ataupun PERKESO HSP juga boleh melakukan ujian darah dan air kencing percuma yang mana laporan ujian makmal dihantar dalam masa dua hingga tiga minggu.
Untuk rekod, program ini telah ditetapkan di 34 lokasi dalam kawasan DUN Demak Laut.
Kredit: UKAS