Selasa, 20 September 2016

Penyelia Dera Anak Saudara Ditangkap

Gambar sekadar hiasan
KUCHING: Seorang penyelia kilang berusia 27 tahun yang disyaki memukul anak saudaranya sehingga cedera anggota badan berjaya ditangkap awal pagi semalam.
Kanak-kanak berusia tujuh tahun itu dikatakan dipukul menggunakan objek dipercayai penyangkut baju di sebuah kediaman di Bandar Baharu Semariang, Jalan Sultan Tengah, di sini.
Ibu mangsa yang mendapati anak lelakinya cedera dipercayai dipukul oleh abangnya, memaklumkan perkara itu kepada suaminya kira-kira jam 5 petang Ahad lalu.
Bapa mangsa yang mendapati kanak-kanak tersebut mengalami kesan lebam dan kesan sebatan membuat laporan polis untuk tindakan selanjutnya.
Difahamkan, mangsa mengalami lebam di kedua-dua belah telinga, selain terdapat beberapa kesan sebatan di bahagian belakang badan dan di kedua-dua belah tangan dan pahanya.
Ketua Polis Daerah (KPD) Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai berkata, bertindak atas maklumat, pasukan daripada Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching berjaya mengesan dan menangkap suspek beberapa jam kemudian sekitar jam 2 pagi semalam.
“Mangsa telah ditahan di Wad Kanak-Kanak Hospital Umum Sarawak untuk rawatan lanjut dan Jabatan Kebajikan Masyarakat telah dimaklumkan untuk tindakan kaunseling,” katanya ketika mengesahkan insiden itu semalam.
Suspek akan ditahan reman untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
Kredit: The Borneo Post

SUKA CATATAN KMT DI ATAS TOK CUMA KLIK

Komen Ahli KMT