Jumaat, 11 November 2016

MITOS DAN LAGENDA DAYANG ISAH TANDANG SARI

Dayang Esah Tandang Sari, nama ini tidak asing lagi kisah sejarah penting di daerah ini dan sungai Batang Saribas. Dayang Esah tandang Sari ini merupakan kerabat Sultan Brunei suatu ketika dahulu. Dan Dayang Esah Tandang Sari ini mempunyai kisah dan lagendanya tersendiri. Berhampiran dengan makam Dayang Isah Tandang sari tersebut terdapat juga Makam Pengiran Temenggung Abdul Kadir. Pengiran Temenggung Abdul Kadir merupakan seorang wakil pemerintahan dari Kesultanan Brunei yang mentadbir daerah Pusa disuatu ketika dahulu.

Makam Dayang Isah Tandang Sari

Pada zaman dahulu sebelum kedatangan Rajah Brooke, ada sebuah daerah di Negeri Sarawak bernama Saribas. Daerah tersebut dikatakan terletak di bawah kekuasaan Sultan Brunei.Sultan Brunei menghantar wakilnya untuk memerintah daerah-daerah yang jauh dari Brunei.Bagi daerah Saribas,Sultan Brunei menghantar seorang wakilnya iaitu Datuk Temenggong Kadir. Datuk Kadir dan isterinya pun tinggallah di Saribas.Pusat pemerintahannya terletak di sebuah tempat bernama Tandang Sari (sekarang tempat ini bernama Pusa).
Datuk Temenggong menjalankan pemerintahannya dengan adil dan saksama.Dia dikasihi oleh rakyat Saribas. Datuk Temenggong Kadir telah lama berkahwin.Isterinya, bernama Dayang Siti Hajar.Tetapi perkahwinan mereka selama tujuh tahun itu belum lagi dikurniakan seorang anak. Datuk Temenggong Kadir dan isterinya,selalu berdoa agar mereka dikurniakan cahaya mata.Walaupun mereka hidup bahagia tetapi mereka selalu merasa kesunyian kerana tidak mempunyai anak.
Pada suatu malam,seperti biasa selepas sembahyang dan berdoa,Datuk Temenggong Kadir pun tidur.Dalam tidurnya itu, dia telah bermimpi,dia telah mendengar satu suara. Datuk Temenggong Kadir tidak tahu dari mana arah suara itu datang.Suara itu berkata:“Wahai Temenggong Kadir, aku kasihan melihat kamu berdoa.Kamu kesunyian.Aku ingin menolong kamu berdua.Ikutlah apa yang aku katakan ini! Esok kamu pergilah ke hulu Sungai Tandang Sari. Di sana ada serumpun buluh betong.Potonglah buluh betong itu. Di dalamnya ada sebiji telur.Ambil telur itu dan simpanlah baik-baik”.
Selepas mendengar suara itu Datuk Temenggong Kadir pun terjaga dari tidurnya.Dia tidak dapat melelapkan matanya lagi kerana memikirkan arahan dari suara itu.Dia tertanya- tanya benarkah apa yang dikatakan oleh suara di dalam mimpinya itu. Atau cuma syaitan yang ingin mengganggunya? Datuk Temenggong Kadir pun mengejutkan isterinya dan menceritakan mimpinya itu.Isterinya menasihatkan Datuk Temenggong Kadir agar menurut apa yang disuruh oleh suara itu.
Keesokan harinya, Datuk Temenggong Kadir pergi ke hulu Sungai Tandang Sari.Dia pergi seorang diri dengan menaiki perahu koleknya,dan membawa pedang saktinya “Gempetar Alam”.Dalam perjalanannya itu, matanya meliar ke kiri dan kanan memerhatikan kalau- kalau ada rumpun buluh betong seperti yang dikatakan di dalam mimpinya itu. Akhirnya, dia bertemu dengan pokok buluh betong itu.Hatinya berdebar-debar. Dengan tidak membuang masa lagi,Datuk Temenggong Kadir pun mengikat perahunya dan naik ke darat.Dia terus memotong pokok buluh itu.Sekali tetak sahaja pokok buluh itu terus putus.Benarlah, terdapat telur di dalam batang buluh betong itu.Datuk Temenggong Kadir mengambil telur itu dengan berhati-hati lalu dibawanya pulang.
Sampai di rumah, telur itu disimpan baik-baik. Pada malam itu,apabila dia tidur,disimpannya telur itu di sebelah kiri kepalanya.Apabila menjelang tengah malam,tiba-tiba mereka terjaga kerana mendengar suara budak menangis.Datuk Temenggong Kadir mendapati telur tersebut telah pecah.Tahulah dia bahawa budak itu lahir dari telur itu. Walaupun mereka berasa sangat terkejut akan kejadian itu tetapi mereka gembira. Sekarang mereka telah mempunyai seorang anak perempuan. Sejak dari tengah malam itu, sampailah ke pagi,mereka tidak tidur kerana sibuk dengan anak yang baru menjelma itu.Mereka berdua sangat bersyukur kepada Allah kerana telah dikurniakan anak, walaupun bukan anak kandungan mereka.
Budak perempuan itu dinamakan Dayang Isah.Apabila sudah dewasa,Dayang Isah amat cantik rupa parasnya dan tiada tolok bandingnya pada zaman itu.Ramai lelaki yang terpandang akan kecantikan rupa paras Dayang Isah terus jatuh cinta dan ingin memilikinya.Ramai pemuda di daerah Saribas berbunuh-bunuhan kerana berebut hendak memperisterikan Dayang Isah.Nampaknya kecantikan Dayang Isah dirasakan oleh penduduk Saribas sebagai satu bencana pula.Datuk Temenggong Kadir tidak juga berasa senang dengan keadaan itu. Dia ingin mengahwinkan Dayang Isah dengan seberapa segera.
Antara pemuda yang gagah perkasa dan disegani oleh penduduk di Tandang Sari ialah Abang Bunut.Abang Bunut ialah pemuda harapan Datuk Temenggong Kadir.Dia seorang pemuda yang peramah,jujur,bersopan santun dan berbudi bahasa.Tingkah laku dan ketrampilan Abang Bunut telah memikat hati Dayang Isah.Oleh kerana Abang Bunut bekerja di istana Datuk Temenggong Kadir,maka dia sering bersua muka dengan Dayang Isah.Dari situ,lahirlah perasaan cinta yang sangat mendalam di antara mereka berdua.Mereka pun berkasih-kasihan dan seolah-olah tidak ada sesuatu pun yang dapat memutuskan hubungan antara mereka berdua. Tambahan pula perhubungan mereka direstui oleh Datuk Temenggong Kadir dan isterinya.
Pada suatu malam Datuk Temenggong Kadir bermimpi. Dalam mimpinya itu, dia telah mendengar suara yang sama di dalam mimpinya dulu.Kali ini suara itu berkata: “Wahai Temenggong Kadir! Dengarlah kata-kataku ini. Dayang Isah telah dewasa dan telah menjadi rebutan ramai pula.Sesiapa yang hendak memperisterikan Dayang Isah mestilah menyediakan sepuluh kati emas sebagai mas kahwin”
Datuk Temenggong Kadir pun terjaga dari tidurnya. Dia berasa resah dan susah hati mengingatkan kata-kata dari suara di dalam mimpinya itu.Dia terkenangkan Abang Bunut yang diketahuinya sangat menyintai Dayang Isah, begitu juga Dayang Isah.Walaupun Datuk Temenggong Kadir sangat berkenan dengan Abang Bunut untuk menjadi menantunya tetapi Abang Bunut seorang pemuda yang miskin, dan sudah pasti tidak dapat menyediakan mas kahwin sebanyak sepuluh kati emas itu.
Keesokan harinya,Datuk Temenggong Kadir memberitahu isterinya akan mimpinya itu.Mereka berdua sangat berasa sedih.Mereka terpaksa patuh dengan arahan suara itu kerana mereka yakin bahawa mimpi itu benar.Mereka mengambil keputusan untuk memberitahu anaknya Dayang Isah dan juga Abang Bunut. Kedua-duanya berasa sangat kecewa setelah diberitahu. Abang Bunut tahu dirinya tidak terdaya untuk menyediakan mas kahwin sebanyak sepuluh kati emas walaupun berusaha bertahun-tahun lamanya. Maka tingggallah mereka berkasih- kasihan begitu saja,makan hati berulam jantung.
Diriwayatkan,ada seorang saudagar Bugis dari Palembang,bernama Nakhoda Khar,hendak pergi berniaga ke negara Brunei.Dalam pelayarannya dari Palembang ke Brunei,dia dan anak-anak buahnya singgah di muara Sungai Saribas.Pada masa dia singgah itulah dia mendengar cerita dari penduduk di situ tentang kecantikan Dayang Isah di Tandang Sari,maka timbullah niat di hatinya memperisterikan Dayang Isah.Nakhoda Khar memang sanggup memenuhi syarat menyediakan mas kahwin sebanyak sepuluh kati emas kerana dia seorang yang kaya.
Dengan tidak membuang masa lagi, Nakhoda Khar pun pergilah meminang Dayang Isah.Pada mulanya Datuk Temenggong Kadir keberatan untuk menerima pinangan itu kerana dia tidak mahu orang luar berkahwin dengan anaknya.Tetapi apabila dia melihat Nakhoda Khar sanggup memberi sepuluh kati emas sebagai mas kahwin,maka pinangan itu pun diterimanya.Datuk Temenggong terpaksa patuh dengan arahan suara yang didengarnya di dalam mimpinya tempoh hari.
Selang beberapa hari bertunang,maka upacara perkahwinanpun berlangsung.Dayang Isah sedikit pun tidak berasa gembira.Dia menangis kerana masih kasihkan Abang Bunut.Begitu juga dengan Abang Bunut,tujuh hari tujuh malam berendamkan air mata.
Setelah genap sebulan menjadi suami isteri, Nakhoda Khar pun meminta izin daripada Datuk Temenggong Kadir untuk berniaga di Brunei.Di hari baik bulan baik Nakhoda Khar pun belayarlah menuju ke Brunei bersama anak-anak buahnya. Apabila sampai di Pulau Burung, barulah Nakhoda Khar teringat yang kerisnya tertinggal, maka ditinggalkan kapalnya di situ sahaja dan berpatah balik dengan mengayuh sampan seorang diri.Sesampainya ke muara Sungai Saribas, hari sudah pun malam.
Dalam perjalanan menuju ke istana, Nakhoda Khar terasa sesuatu yang tidak menyenangkan hatinya lantas dia mempercepatkan langkahnya.Sesampai di istana, Nakhoda Khar terdengar suara isterinya,Dayang Isah sedang bergurau senda dengan Abang Bunut.Maka timbullah rasa marah dan cemburu yang tidak terkira di hati Nakhoda Khar,lalu dibacanya jampi ilmu tidur.Selepas jampi itu dibaca maka tidurlah seisi istana.Lalu Nakhoda Khar mengambil kerisnya lalu menikam Abang Bunut dalam tidurnya,matilah Abang Bunut. Selepas itu, Nakhoda Khar pun keluar meninggalkan istana dan menuju ke sampannya,dan terus berkayuh ke arah kapalnya yang sedang berlabuh di Pulau Burung.
Pada keesokan harinya,Dayang Isah dan seisi istana terkejut melihat kematian Abang Bunut. Dayang Isah sedar telah banyak nyawa yang terkorban hanya kerana kecantikannya.Dia takut andai dia hidup lebih lama lagi maka akan bertambah ramai lagi yang akan terkorban lalu Dayang Isah mengambil keputusan untuk membunuh diri.Dia pun mengambil keris lalu menikam dirinya beberapa kali tetapi tidak lut.Setelah gagal berbuat demikian maka Dayang Isah mengambil tujuh helai rambutnya yang panjang mengurai lalu diikatnya di leher hingga mati.
Setelah melihatkan perkara itu,maka Temenggong Kadir berasa amat marah.Dia tahu kejadian itu semuanya angkara Nakhoda Khar lalu dia pun menaiki perahu koleknya bersama Lancang Mayang untuk mengejar Nakhoda Khar.Perahu koleknya terlalu laju seperti naga lapar,pengayuhnya selebar tiga hasta. Akhirnya sampailah dia ke kapal Nakhoda Khar.Dia terus menghunus pedang saktinya yang bernama Gempetar Alam,lalu dipotongnya kapal Nakhoda Khar lalu terputus dua. Dan Nakhoda Khar serta semua anak buahnya mati lemas di Pulau Burung.
Selepas dari itu Datuk Temenggong Kadir pun baliklah untuk menguruskan mayat anaknya, Dayang Isah yang dimakamkan berhampiran dengan makam Abang Bunut. Menurut orang yang empunya cerita ini,makam Dayang Isah itu masih terdapat hingga sekarang ini di Pusa, Saribas dalam Bahagian Kedua Sarawak.
Kredit: Pusat Internet 1Malaysia, Beladin Sarawak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SUKA CATATAN KMT DI ATAS TOK CUMA KLIK

Komen Ahli KMT