Elakkan menghantar gambar makanan ke dalam instagram sebelum berbuka puasa |
Pejam celik, sudah tinggal kurang tiga hari saja lagi umat Islam di seluruh dunia dijangka mula menunaikan rukun Islam ketiga.
Berpuasa sering dikaitkan sebagai bulan beribadat dengan
pelbagai aktiviti lain dilakukan dan bukan saja setakat menahan lapar
dan dahaga pada siang hari.
Memandangkan kita hidup pada zaman teknologi, sudah pasti ia
juga boleh dikaitkan dengan aktiviti beribadat dan seharusnya menjadi
pemangkin untuk menggandakan pahala pada bulan Ramadan yang mulia.
Kita ambil contoh mengenai gajet wearable atau peranti boleh
pakai seperti jam pintar atau gelang yang boleh dikaitkan dengan bulan
puasa.
Bulan puasa bukan saja dikaitkan dengan ibadat namun ia
umpama serampang dua mata apabila ia bulan yang sesuai untuk
mengurangkan berat badan dan meningkatkan kecergasan yang sudah pasti
boleh dibantu peranti wearable.
Sifatnya yang mempunyai sensor mengesan langkah membolehkan
pengguna menganggarkan kalori yang terbakar ketika atau selepas kita
berjalan, jadi pada bulan puasa ini, ia bukanlah alasan untuk duduk
bersenang lenang.
Bagi memastikan aktiviti bangun malam untuk beribadat pula,
anda boleh mendapat manfaat daripada kebanyakan pengeluar wearable
terbabit untuk menetapkan waktu tidur sesuai dan fungsi mengejutkan
selepas sepertiga malam.
Di samping bangun malam untuk beribadat, ia juga bertindak
memastikan waktu tidur yang cukup terutama selepas berpuasa pada siang
hari dan memastikan diri kekal bertenaga pada waktu siang. Al-Quran digital pula menjadi tumpuan sekiranya pengguna
mahu mengasingkan antara al-Quran dan aplikasi al-Quran dalam telefon
pintar.
Ramadan kali ini mungkin masa yang sesuai untuk memanfaatkan
teknologi paling dekat dengan kita seperti telefon pintar dan tablet di
samping penggunaan gajet lain seperti al-Quran digital atau tasbih
elektronik.
Terdapat lambakan gajet di pasaran dengan pelbagai jenama
yang menggunakan pen sebagai peranti memainkan audio bacaan al-Quran
bagi membolehkan anda mengaji di mana saja anda berada dengan bimbingan
‘ustaz’.
Bagaimanapun, pen yang dibangunkan perlu mendapat kelulusan
daripada Bahagian Kawalan Penerbitan dan Teks Al-Quran Kementerian Dalam
Negeri (KDN) sementara terjemahannya pula disahkan Jakim.
Al-Quran dalam bentuk pen dapat membantu mereka yang mesra
teknologi untuk belajar serta mendapat manfaat daripada set yang
mengandungi al-Quran berkod serta pen pintar.
Pada kebiasaannya, pengguna turut dibekalkan kad mengandungi
114 surah dan kad 26 doa harian, buku Iqra dan pakej amalan solihin
terdiri daripada surah Yasin, Asmaul Husna dan AlMa’thurat.
Pen pintar yang ada membolehkan pengguna mendengar bacaan dengan mudah.
Ia direka untuk membaca teks dan imej yang dikodkan dan
dicetak di atas kertas, kemudian menukarkan data berkenaan kepada suara
atau bunyi. Saiz pen yang kompak memudahkan ia dibawa ke mana saja dan
menjadikan proses pembelajaran lebih menarik serta berkesan.
Selain itu, bulan puasa juga memberi kemeriahan apabila bazar Ramadan mula dibuka bagai cendawan tumbuh selepas hujan.
Kunjungan ke bazar membeli makanan yang menjadi rutin ketika
berbuka memang dinantikan, namun masalah timbul sekiranya kita tiba di
bazar awal untuk membeli makanan. Sebaik saja pulang, makanan pula sudah
sejuk, ditambah lagi waktu berbuka masih lama.
Jadi, teknologi seperti beg pemanas makanan (thermal
insulated bag) menjadi pilihan jika anda mahu ke bazar Ramadan, sekali
gus mengekalkan panas murtabak, roti john dan banyak lagi makanan pada
bulan Ramadan.
Secara tidak langsung, anda juga boleh menjadi individu yang mesra alam apabila mengurangkan jumlah penggunaan plastik.
Lagipun, beg pemanas makanan tidak mahal harganya iaitu
kira-kira RM10 hingga RM50 bergantung kepada saiz dan boleh digunakan
untuk jangka masa lama.
Ramadan juga mengajar kita untuk mengurangkan aktiviti
‘online’ yang tidak mendatangkan faedah sama ada secara sedar ataupun
tidak.
Misalnya, apabila waktu berbuka hampir tiba, semakin galak
kita sibuk merakam foto makanan dan menghantarnya ke dalam Instragram.
Sebaiknya kita perlu mengelak terlalu melekat di depan
telefon pintar dengan mengemas kini Facebook atau laman sosial lain dan
sibuk menaip status tidak bermanfaat secara panjang lebar kerana waktu
yang ada lebih sesuai untuk melakukan ibadat.
Tidak dilupakan, jangan pula membiarkan orang tua di kampung
keseorangan pada bulan Ramadan apabila si anak hanya sibuk di grup
WhatsApp tanpa menghiraukan keadaan ahli keluarga.
Selain itu, jangan lupa untuk menggunakan mod senyap pada telefon pintar ketika solat Tarawih. Pesanan terakhir, walau secanggih mana pun telefon anda,
jika ia tidak mampu untuk tetapkan ‘alarm’ untuk bangun bersahur atau
bertahajud, tak guna juga!
Kredit by: Afiq Hanif (HMetro)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan