Isnin, 20 November 2017

Landas Berjaya Takluk Gelaran Raja Sungai Sarawak 2017


KUCHING - Pasukan Landas yang sinonim dengan lumba perahu bukan sahaja berjaya merampas kembali gelaran Raja Sungai Regata Sarawak yang pernah dimenanginya pada kali terakhir tahun 2010, bahkan berjaya menakluki Sungai Sarawak selepas memenangi tempat pertama dan ketiga dalam satu perlumbaan sengit Regata Sarawak 2017 di sini, petang semalam.

Landas yang berazam merampas kembali kejuaraan Raja Sungai selepas tewas pada perlumbaan tahun lepas kepada Cahaya Zen 2, berjaya melakukannya pada perlumbaan kali ini menerusi Landas 11 dan Landas 31  dengan mempamerkan aksi bertenaga sejak dari garisan permulaan lagi.

Landas 11 yang memulakan perlumbaan di barisan ke 4 memulakan perlumbaan dengan bertenaga sambil diberikan saingan Yayasan Sarawak yang bermula di barisan 12.

Selepas memasuki jarak 100 meter, kedua-dua perahu telah rapat antara satu sama lain hingga menuju ke garisan penamat.

Sampai di garisan penamat, Landas 11 yang berjaya mengekalkan momentum akhirnya berjaya menjadi perahu pertama melepasi garisan penamat.  

Tempat kedua dimenangi perahu Yayasan Sarawak yang telah memberi saingan yang cukup sengit kepada Landas 11.

Perlumbaan sejauh 1,500 meter itu disertai 12 perahu dan merupakan acara yang ditunggu-tunggu orang ramai pada setiap kali Regata Sarawak berlangsung.

Sementara itu, dalam kategori VIP perahu yang dimiliki Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Baginda Sultan dan Yang Di Pertua Negara Brunei Darulsalam Sultan Hasanal Bolkiah menepati ramalan apabila perahu baginda berjaya muncul juara.

Lebih menarik lagi, baginda Sultan Hasanal Bolkiah sendiri mengetuai pasukannya dalam perlumbaan ini suatu yang tidak pernah disaksikan di mana-mana kejohanan perlumbaan perahu panjang sebelum ini.

Manakala, perahu yang dimiliki Tuan Yang Terutama Yang Di-Pertua Negeri Sarawak muncul naib juara dan tempat ketiga disandang perahu Timbalan Ketua Menteri Sarawak 3.

Selain baginda sultan, Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi (Dr) Abang Abdul Rahman Zohari bin Tun Datuk Abang Openg juga turut serta berkayuh menerusi perahu Yang Amat Berhormat Ketua Menteri Sarawak.

Regata Sarawak yang dirasmikan pada 11 November lepas dan kemuncaknya pada Sabtu (semalam) dan hari ini berjaya mengamit lebih 10,000 orang pengunjung dan merupakan acara tahunan dalam kalendar pelancongan yang menjadi tarikan di seluruh negeri Sarawak termasuk negara-negara jiran yang turut sama mengambil bahagian dalam acara yang dipertandingkan.

Selain lumba perahu, turut diadakan di sepanjang Regata Sarawak itu ialah perlumbaan ‘Dragon Boat Eye-Dotting’, Festival Kraft dan ‘Sarawak Kitchen’ berenang di Sungai Sarawak, menangkap itik dan  banyak lagi.

Kredit: KLXpress Sarawak

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SUKA CATATAN KMT DI ATAS TOK CUMA KLIK

Komen Ahli KMT