Isnin, 19 Disember 2016

Bapa Putus Asa Dengan Anaknya 'Doktor, Injection Kasi Mati Ada Tak?'

Gambar sekadar hiasan

DOKTOR, INJECTION KASI MATI ADA TAKK?


Baru sebentar tadi seorang pesakit tua dalam lingkungan 80-an datang ke dalam bilik rawatan saya ditemani anak lelakinya.

Sepanjang konsultasi dijalankan, saya melihat anaknya tidak berhenti-henti memarahi bapanya yang kelihatan sudah sedikit nyanyuk, namun masih petah berbicara.

Pesakit tua tersebut mengalami masalah pening akibat tersalah memakan ubat yang diberikan, mungkin kerana nyanyuk, ubat kencing manis dan darah tinggi beliau saya lihat sudah bercampur aduk. Timbul rasa kasihan dan simpati, saya pun menasihati beliau termasuk anak lelakinya akan kepentingan memakan ubat darah tinggi dan kencing manis tepat pada waktunya agar pesakit tidak lagi kepeningan.

Selanjutnya, anaknya meminta agar saya memberikan suntikan bagi menghilangkan pening ayahnya itu. Setelah menilai beberapa risiko lain, saya pun bersetuju untuk memberikan suntikan untuk menghilangkan pening supaya pesakit dapat pulang dalam keadaan selesa.

Saat hendak dicucuk, beberapa kali anaknya menengking bapanya. Bayangkan seorang tua yang sudah hampir mencecah satu abad, dengan pergerakan yang terketar-ketar dan suara yang lemah, pesakit itu berkata, "Doktor, injection kasi mati ada tak?"... Anaknya yang sedari tadi menengking-nengking kini terdiam. Termasuk saya.

Bagi menenangkan pesakit itu, saya bertanya, "Kenapa pakcik mau itu injection?" Dia menjawab, "Wa sudah tua, takde guna lagi hidup kasi susah orang saja".

Allahu... lihatlah betapa hati dan perasaan orang tua ini sudah begitu remuk dengan kerenah anaknya, sehinggakan beliau tidak lagi sanggup hidup.

Saya menenangkan pesakit dan anaknya lagi, "Pakcik, masa you kecik, you sudah jaga you punya anak baik-baik sampai besar, sekarang dia sudah besar, dia punya turn la jaga you maa... Jangan sedih-sedih ok?"

Beliau tidak menjawab, hanya dengan berlinangan air mata beliau mengangguk. Anaknya pula sudah mula berdiam diri, mungkin baru tersedar akan perbuatannya yang melampaui batas sebentar tadi. Sampai saat hendak keluar, pesakit tidak henti-henti mengucapkan terima kasih, dan anaknya pula sudah mula memimpin tangan ayahnya untuk keluar dari bilik rawatan, perkataannya juga lebih lembut nadanya.

Wahai anak-anak, berbaktilah kepada kedua ibubapamu, janganlah pernah jemu melontarkan kata-kata yang lembut kepadanya dan jangan pernah lupa jasa mereka membesarkanmu selama ini.

Kepada mereka yang baru bergelar ibubapa pula, janganlah pernah melemparkan kata-kata kesat terhadap anak anda semasa mereka kecil, mana tau nanti saat anda sudah tua tidak berdaya, mereka pula akan melayan anda dengan kasar hasil perbuatan anda sendiri suatu ketika dahulu.

P/S: Cerita di atas adalah kisah benar dan tiada yang benar melainkan yang benar belaka untuk peringatan kita semua. Wallahu'alam...

Kredit: MEDIA HUB-M

Selasa, 13 Disember 2016

Unik: Tradisi 'Tukar Palak Kueh' Sempena Sambutan Maulidur Rasul Di Sebandi Ulu


KOTA SAMARAHAN : Lain padang lain belalang, begitulah pepatah yang membawa maksud perbezaan adat atau budaya setempat yang berbeza.

Kampung Sebandi Ulu Asajaya yang terletak kira-kira 60 kilometer dari Bandaraya Kuching mempunyai cerita menarik untuk dikongsi bersama.

Kebiasaannya sambutan Malidur Rasul akan disambut dengan perarakan dan shalawat ke atas junjungan Nabi yang disertai oleh masyarakat dan agensi kerajaan dan swasta, tetapi penduduk Sebandi Ulu menyambut dengan cara yang berbeza.

Setiap suri rumah penduduk kampung berkenaan akan sibuk menyediakan kek atau kuih-muih sebelum sambutan bermula.



Bukan setakat membuat kek, tetapi kek tersebut akan dibuat dalam warna dan hiasan yang pelbagai serta menarik perhatian.


Kek atau kuih-muih akan dibawa ke Masjid untuk dijadikan juadah penduduk yang melakukan aktiviti berzikir dan bershalawat ke atas Nabi. Tradisi ini dnamakan sebagai Tradisi "Tukar Palak Kueh".






Penduduk akan menikmati juadah tersebut dalam suasana yang harmoni serta penuh ukhwah selepas bacaan doa selamat selesai.



Begitulah aktiviti sambutan Maulidur Rasul di Kampung Sebandi Ulu yang unik dan tidak terdapat di tempat lain.(Y)

Rabu, 16 November 2016

Regata Bot Naga: Wani-Wani Oya Lakar Sejarah Tersendiri Juara Kategori 20 Pekayuh Terbuka Antarabangsa

TAHNIAH: Datuk Mohd Naroden Majais menyampaikan hadiah kepada pasukan Wani-Wani Oya
selaku juara kategori 20 Pekayuh Terbuka Antarabangsa di Tebingan Kuching kelmarin.

KUCHING: Wakil tempatan, Wani-Wani Oya melakar sejarah tersendiri apabila menjuarai saingan akhir kategori 20 Pekayuh Terbuka Antarabangsa pada Regata Bot Naga Antarabangsa Sarawak 2016 yang melabuhkan tirainya di Tebingan Kuching, kelmarin.
Lebih manis, kemenangan pertama buat pasukan dari Sarawak itu turut diperkuatkan dengan barisan pekayuh anak jati kelahiran negeri ini.
Kejayaan dramatik itu tercapai apabila kayuhan bertenaga pasukan Wani-Wani Oya melepasi garisan penamat sekali gus melunaskan impian bergelar juara temasya sukan air bertaraf antarabangsa itu.
Kecemerlangan Wani- Wani Oya di pentas akhir tersebut ternyata membuktikan pasukan itu mampu bergerak setanding pasukan antarabangsa.
Mencatatkan masa terpantas 1.34 minit pada peringkat akhir, meninggalkan tiga pencabar lain yang turut melibatkan penyertaan Team Dragon Boat Of West Borneo, Jang International Indonesia dan Landas.
Sehubungan itu, kemenangan itu mengesahkan kedudukan Wani-Wani Oya sebagai juara kategori terbuka antarabangsa sempena temasya tersebut.
Jabatan Tanah dan Survei (JTS) Sarawak menghantar beberapa pasukan pada temasya tersebut turut mempamerkan prestasi cemerlang dalam saingan kategori berasingan, 20 Pekayuh Campuran Terbuka Antarabangsa menerusi pasukan Sarawak Dragons yang diumumkan sebagai naib juara.
Kredit: UB

Selasa, 15 November 2016

Penunggang Maut, Dua Motosikal Bertembung

NAHAS: Seorang maut manakala tiga lagi cedera parah dalam
kemalangan jam 12.30 pagi semalam.

KUCHING: Seorang lelaki maut manakala tiga lagi cedera parah dalam satu kemalangan membabitkan dua motosikal di Batu 5, Jalan Matang-Malihah di sini, awal pagi semalam.
Mangsa meninggal dunia dikenal pasti sebagai Mohd Tarmizi Bujang, 20, dari Kampung Semerah Padi yang menunggang motosikal bersama seorang remaja berusi 15 tahun.
Seorang lagi penunggang motosikal yang berusia 21 tahun bersama pembonceng turut mengalami kecederaan parah dalam insiden sekitar jam 12.30 pagi tersebut.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Sarawak DSP Alexson Naga Chabu berkata, kejadian itu dipercayai berlaku semasa motosikal ditunggang mangsa bersama rakannya bergerak dari arah pasar Matang menuju ke arah Malihah.
“Semasa motosikal mangsa hendak masuk simpang, berlaku perlanggaran dengan motosikal yang datang dari arah bertentangan,” katanya ketika dihubungi semalam.
Alexson berkata, akibat perlanggaran itu, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
Tiga lagi mangsa yang mengalami cedera parah katanya, sedang menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak.
Kes itu masih dalam siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 oleh Pegawai Penyiasat Trafik Padawan Inspektor Malvin Andrew.

Kredit: UB

Sabtu, 12 November 2016

Fenomena Supermoon Terbesar Isnin Ini



KUALA LUMPUR - Orang ramai berpeluang menyaksikan Supermoon atau 'perigee', iaitu kedudukan bulan berada paling hampir dengan bumi pada Isnin depan.Agensi Angkasa Negara (Angkasa) dalam satu kenyataan di sini berkata, fenomena kali ini merupakan Supermoon terbesar yang berada pada jarak paling dekat dengan bumi sejak 68 tahun lepas."Walaupun fenomena ini pernah berlaku pada 6 Mei 2012, 23 Jun 2013, 10 Ogos 2014 dan 28 Sept 2015, namun kejadian kali ini adalah Supermoon terbesar. Orang ramai perlu mengambil kesempatan menyaksikannya kerana ia dijangka berlaku 18 tahun akan datang," demikian menurut Angkasa.Kenyataan itu turut menyebut bahawa fenomena Supermoon pada Isnin ini akan berlaku pukul 7.24 malam dan seterusnya berada pada fasa penuh atau purnama pada 9.54 malam.    "Keadaan bulan di kedudukan perigee ketika fasa purnama menyebabkan bulan kelihatan seolah-olah lebih besar daripada keadaan biasa. Bagaimanapun, saiz fizikal bulan sebenarnya tidak berubah sama sekali," menurut kenyataan itu.Orang ramai boleh melayari laman sesawang, Facebook dan Twitter Angkasa untuk mendapatkan maklumat lanjut serta berkongsi koleksi imej berkaitan Supermoon. -Bernama

Jumaat, 11 November 2016

MITOS DAN LAGENDA DAYANG ISAH TANDANG SARI

Dayang Esah Tandang Sari, nama ini tidak asing lagi kisah sejarah penting di daerah ini dan sungai Batang Saribas. Dayang Esah tandang Sari ini merupakan kerabat Sultan Brunei suatu ketika dahulu. Dan Dayang Esah Tandang Sari ini mempunyai kisah dan lagendanya tersendiri. Berhampiran dengan makam Dayang Isah Tandang sari tersebut terdapat juga Makam Pengiran Temenggung Abdul Kadir. Pengiran Temenggung Abdul Kadir merupakan seorang wakil pemerintahan dari Kesultanan Brunei yang mentadbir daerah Pusa disuatu ketika dahulu.

Makam Dayang Isah Tandang Sari

Pada zaman dahulu sebelum kedatangan Rajah Brooke, ada sebuah daerah di Negeri Sarawak bernama Saribas. Daerah tersebut dikatakan terletak di bawah kekuasaan Sultan Brunei.Sultan Brunei menghantar wakilnya untuk memerintah daerah-daerah yang jauh dari Brunei.Bagi daerah Saribas,Sultan Brunei menghantar seorang wakilnya iaitu Datuk Temenggong Kadir. Datuk Kadir dan isterinya pun tinggallah di Saribas.Pusat pemerintahannya terletak di sebuah tempat bernama Tandang Sari (sekarang tempat ini bernama Pusa).
Datuk Temenggong menjalankan pemerintahannya dengan adil dan saksama.Dia dikasihi oleh rakyat Saribas. Datuk Temenggong Kadir telah lama berkahwin.Isterinya, bernama Dayang Siti Hajar.Tetapi perkahwinan mereka selama tujuh tahun itu belum lagi dikurniakan seorang anak. Datuk Temenggong Kadir dan isterinya,selalu berdoa agar mereka dikurniakan cahaya mata.Walaupun mereka hidup bahagia tetapi mereka selalu merasa kesunyian kerana tidak mempunyai anak.
Pada suatu malam,seperti biasa selepas sembahyang dan berdoa,Datuk Temenggong Kadir pun tidur.Dalam tidurnya itu, dia telah bermimpi,dia telah mendengar satu suara. Datuk Temenggong Kadir tidak tahu dari mana arah suara itu datang.Suara itu berkata:“Wahai Temenggong Kadir, aku kasihan melihat kamu berdoa.Kamu kesunyian.Aku ingin menolong kamu berdua.Ikutlah apa yang aku katakan ini! Esok kamu pergilah ke hulu Sungai Tandang Sari. Di sana ada serumpun buluh betong.Potonglah buluh betong itu. Di dalamnya ada sebiji telur.Ambil telur itu dan simpanlah baik-baik”.
Selepas mendengar suara itu Datuk Temenggong Kadir pun terjaga dari tidurnya.Dia tidak dapat melelapkan matanya lagi kerana memikirkan arahan dari suara itu.Dia tertanya- tanya benarkah apa yang dikatakan oleh suara di dalam mimpinya itu. Atau cuma syaitan yang ingin mengganggunya? Datuk Temenggong Kadir pun mengejutkan isterinya dan menceritakan mimpinya itu.Isterinya menasihatkan Datuk Temenggong Kadir agar menurut apa yang disuruh oleh suara itu.
Keesokan harinya, Datuk Temenggong Kadir pergi ke hulu Sungai Tandang Sari.Dia pergi seorang diri dengan menaiki perahu koleknya,dan membawa pedang saktinya “Gempetar Alam”.Dalam perjalanannya itu, matanya meliar ke kiri dan kanan memerhatikan kalau- kalau ada rumpun buluh betong seperti yang dikatakan di dalam mimpinya itu. Akhirnya, dia bertemu dengan pokok buluh betong itu.Hatinya berdebar-debar. Dengan tidak membuang masa lagi,Datuk Temenggong Kadir pun mengikat perahunya dan naik ke darat.Dia terus memotong pokok buluh itu.Sekali tetak sahaja pokok buluh itu terus putus.Benarlah, terdapat telur di dalam batang buluh betong itu.Datuk Temenggong Kadir mengambil telur itu dengan berhati-hati lalu dibawanya pulang.
Sampai di rumah, telur itu disimpan baik-baik. Pada malam itu,apabila dia tidur,disimpannya telur itu di sebelah kiri kepalanya.Apabila menjelang tengah malam,tiba-tiba mereka terjaga kerana mendengar suara budak menangis.Datuk Temenggong Kadir mendapati telur tersebut telah pecah.Tahulah dia bahawa budak itu lahir dari telur itu. Walaupun mereka berasa sangat terkejut akan kejadian itu tetapi mereka gembira. Sekarang mereka telah mempunyai seorang anak perempuan. Sejak dari tengah malam itu, sampailah ke pagi,mereka tidak tidur kerana sibuk dengan anak yang baru menjelma itu.Mereka berdua sangat bersyukur kepada Allah kerana telah dikurniakan anak, walaupun bukan anak kandungan mereka.
Budak perempuan itu dinamakan Dayang Isah.Apabila sudah dewasa,Dayang Isah amat cantik rupa parasnya dan tiada tolok bandingnya pada zaman itu.Ramai lelaki yang terpandang akan kecantikan rupa paras Dayang Isah terus jatuh cinta dan ingin memilikinya.Ramai pemuda di daerah Saribas berbunuh-bunuhan kerana berebut hendak memperisterikan Dayang Isah.Nampaknya kecantikan Dayang Isah dirasakan oleh penduduk Saribas sebagai satu bencana pula.Datuk Temenggong Kadir tidak juga berasa senang dengan keadaan itu. Dia ingin mengahwinkan Dayang Isah dengan seberapa segera.
Antara pemuda yang gagah perkasa dan disegani oleh penduduk di Tandang Sari ialah Abang Bunut.Abang Bunut ialah pemuda harapan Datuk Temenggong Kadir.Dia seorang pemuda yang peramah,jujur,bersopan santun dan berbudi bahasa.Tingkah laku dan ketrampilan Abang Bunut telah memikat hati Dayang Isah.Oleh kerana Abang Bunut bekerja di istana Datuk Temenggong Kadir,maka dia sering bersua muka dengan Dayang Isah.Dari situ,lahirlah perasaan cinta yang sangat mendalam di antara mereka berdua.Mereka pun berkasih-kasihan dan seolah-olah tidak ada sesuatu pun yang dapat memutuskan hubungan antara mereka berdua. Tambahan pula perhubungan mereka direstui oleh Datuk Temenggong Kadir dan isterinya.
Pada suatu malam Datuk Temenggong Kadir bermimpi. Dalam mimpinya itu, dia telah mendengar suara yang sama di dalam mimpinya dulu.Kali ini suara itu berkata: “Wahai Temenggong Kadir! Dengarlah kata-kataku ini. Dayang Isah telah dewasa dan telah menjadi rebutan ramai pula.Sesiapa yang hendak memperisterikan Dayang Isah mestilah menyediakan sepuluh kati emas sebagai mas kahwin”
Datuk Temenggong Kadir pun terjaga dari tidurnya. Dia berasa resah dan susah hati mengingatkan kata-kata dari suara di dalam mimpinya itu.Dia terkenangkan Abang Bunut yang diketahuinya sangat menyintai Dayang Isah, begitu juga Dayang Isah.Walaupun Datuk Temenggong Kadir sangat berkenan dengan Abang Bunut untuk menjadi menantunya tetapi Abang Bunut seorang pemuda yang miskin, dan sudah pasti tidak dapat menyediakan mas kahwin sebanyak sepuluh kati emas itu.
Keesokan harinya,Datuk Temenggong Kadir memberitahu isterinya akan mimpinya itu.Mereka berdua sangat berasa sedih.Mereka terpaksa patuh dengan arahan suara itu kerana mereka yakin bahawa mimpi itu benar.Mereka mengambil keputusan untuk memberitahu anaknya Dayang Isah dan juga Abang Bunut. Kedua-duanya berasa sangat kecewa setelah diberitahu. Abang Bunut tahu dirinya tidak terdaya untuk menyediakan mas kahwin sebanyak sepuluh kati emas walaupun berusaha bertahun-tahun lamanya. Maka tingggallah mereka berkasih- kasihan begitu saja,makan hati berulam jantung.
Diriwayatkan,ada seorang saudagar Bugis dari Palembang,bernama Nakhoda Khar,hendak pergi berniaga ke negara Brunei.Dalam pelayarannya dari Palembang ke Brunei,dia dan anak-anak buahnya singgah di muara Sungai Saribas.Pada masa dia singgah itulah dia mendengar cerita dari penduduk di situ tentang kecantikan Dayang Isah di Tandang Sari,maka timbullah niat di hatinya memperisterikan Dayang Isah.Nakhoda Khar memang sanggup memenuhi syarat menyediakan mas kahwin sebanyak sepuluh kati emas kerana dia seorang yang kaya.
Dengan tidak membuang masa lagi, Nakhoda Khar pun pergilah meminang Dayang Isah.Pada mulanya Datuk Temenggong Kadir keberatan untuk menerima pinangan itu kerana dia tidak mahu orang luar berkahwin dengan anaknya.Tetapi apabila dia melihat Nakhoda Khar sanggup memberi sepuluh kati emas sebagai mas kahwin,maka pinangan itu pun diterimanya.Datuk Temenggong terpaksa patuh dengan arahan suara yang didengarnya di dalam mimpinya tempoh hari.
Selang beberapa hari bertunang,maka upacara perkahwinanpun berlangsung.Dayang Isah sedikit pun tidak berasa gembira.Dia menangis kerana masih kasihkan Abang Bunut.Begitu juga dengan Abang Bunut,tujuh hari tujuh malam berendamkan air mata.
Setelah genap sebulan menjadi suami isteri, Nakhoda Khar pun meminta izin daripada Datuk Temenggong Kadir untuk berniaga di Brunei.Di hari baik bulan baik Nakhoda Khar pun belayarlah menuju ke Brunei bersama anak-anak buahnya. Apabila sampai di Pulau Burung, barulah Nakhoda Khar teringat yang kerisnya tertinggal, maka ditinggalkan kapalnya di situ sahaja dan berpatah balik dengan mengayuh sampan seorang diri.Sesampainya ke muara Sungai Saribas, hari sudah pun malam.
Dalam perjalanan menuju ke istana, Nakhoda Khar terasa sesuatu yang tidak menyenangkan hatinya lantas dia mempercepatkan langkahnya.Sesampai di istana, Nakhoda Khar terdengar suara isterinya,Dayang Isah sedang bergurau senda dengan Abang Bunut.Maka timbullah rasa marah dan cemburu yang tidak terkira di hati Nakhoda Khar,lalu dibacanya jampi ilmu tidur.Selepas jampi itu dibaca maka tidurlah seisi istana.Lalu Nakhoda Khar mengambil kerisnya lalu menikam Abang Bunut dalam tidurnya,matilah Abang Bunut. Selepas itu, Nakhoda Khar pun keluar meninggalkan istana dan menuju ke sampannya,dan terus berkayuh ke arah kapalnya yang sedang berlabuh di Pulau Burung.
Pada keesokan harinya,Dayang Isah dan seisi istana terkejut melihat kematian Abang Bunut. Dayang Isah sedar telah banyak nyawa yang terkorban hanya kerana kecantikannya.Dia takut andai dia hidup lebih lama lagi maka akan bertambah ramai lagi yang akan terkorban lalu Dayang Isah mengambil keputusan untuk membunuh diri.Dia pun mengambil keris lalu menikam dirinya beberapa kali tetapi tidak lut.Setelah gagal berbuat demikian maka Dayang Isah mengambil tujuh helai rambutnya yang panjang mengurai lalu diikatnya di leher hingga mati.
Setelah melihatkan perkara itu,maka Temenggong Kadir berasa amat marah.Dia tahu kejadian itu semuanya angkara Nakhoda Khar lalu dia pun menaiki perahu koleknya bersama Lancang Mayang untuk mengejar Nakhoda Khar.Perahu koleknya terlalu laju seperti naga lapar,pengayuhnya selebar tiga hasta. Akhirnya sampailah dia ke kapal Nakhoda Khar.Dia terus menghunus pedang saktinya yang bernama Gempetar Alam,lalu dipotongnya kapal Nakhoda Khar lalu terputus dua. Dan Nakhoda Khar serta semua anak buahnya mati lemas di Pulau Burung.
Selepas dari itu Datuk Temenggong Kadir pun baliklah untuk menguruskan mayat anaknya, Dayang Isah yang dimakamkan berhampiran dengan makam Abang Bunut. Menurut orang yang empunya cerita ini,makam Dayang Isah itu masih terdapat hingga sekarang ini di Pusa, Saribas dalam Bahagian Kedua Sarawak.
Kredit: Pusat Internet 1Malaysia, Beladin Sarawak

Jumaat, 4 November 2016

Wanita Dirogol Rakan Teman Lelaki, Trauma Kelar Diri

TANGKAP: Suspek dibawa ke HUS untuk pemeriksaan bagi mambantu siasatan lanjut.
KUCHING: Trauma selepas mendakwa dirogol rakan baik teman lelakinya, seorang wanita bertindak mengelar dirinya dalam satu insiden di Stutong Baru di sini, semalam.
Menurut sumber, mangsa berusia 16 tahun mendakwa dia telah diberi makan sesuatu dipercayai dadah sehingga menyebabkan dia khayal dan tidak sedarkan diri sehingga jam 3 pagi.
Difahamkan, mangsa yang menyedari dia telah dirogol oleh suspek berusia 35 tahun berasal dari Jalan Mendu di sini kemudian menjerit meminta pertolongan.
“Penduduk sekitar yang menyedari insiden tersebut segera menghubungi pihak polis untuk mendapatkan bantuan.
“Polis yang tiba sejurus kemudian mendapati mangsa berlumuran darah selepas dikatakan nekad mengelar leher serta pergelangan tangannya dipercayai kerana trauma dengan apa yang menimpa dirinya.
“Suspek yang juga rakan teman lelaki mangsa kemudian ditahan untuk siasatan lanjut,” kata sumber yang memberitahu teman lelaki mangsa juga hadir di lokasi kejadian.
Mangsa yang cedera itu kemudian dikejarkan ke Hospital Umum Sarawak (HUS) menggunakan ambulans untuk rawatan dan pemeriksaan kesihatan.
Laporan polis berhubung kejadian juga telah dibuat dan siasatan lanjut pihak polis masih dijalankan.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai mengesahkan ada menerima laporan berhubung kejadian dan siasatan lanjut sedang dijalankan.

Kredit: UB

Manfaat Uap Air Panas Untuk Wajah Terlihat Cantik

Manfaat uap air panas

Dalam hal ini banyak sekali manfaat uap air terutama untuk kulit wajah anda yang mungkin sedang berjerawatan atau mungkin sedang banyak sekali kotoran yang mati oleh karena itu sebaiknya segera melakukan perawatan untuk kulit kita, tidak perlu mahal untuk melakukan perawatan ini cukup di rumah dan cari bahan-bahanya yang lengkap di sekitaran anda, nanti saya jelaskan bahan apa saja yang di butuhkan untuk metode perawatan ini karena manfaat uap air panas cukup bagus untuk wajah anda nantinya.

Manfaat uap air panas untuk wajah

Manfaat uap air panas untuk wajah, hal ini bisa anda lakukan ketika di pagi hari yang lebih cocok untuk melakukanya karena udara yang segar akan membantu proses perawatan kulit anda loh sobat, masih penasaran dengan manfaat uap air panas untuk muka anda? sabar ya cantik karena banyaknya manfaat uap air panas bagi wajah saya jadi terheran kok bisa seperti itu ya. Nah dalam hal ini bisa di lakukan pada wajah pria maupun wanita, namun kebanyakan yang melakukan hal ini adalah wanita, tau sendiri wanita sangat gemar sekali melakukan perawatan untuk wajah mereka.

Manfaat uap air panas untuk jerawat juga bisa dilakukan nah jika satu ini kita lebih sensitif sekali kulitnya jadi harus berhati - hati dalam melakukan metode dengan uap air panas, apalagi jerawatnya yang sudah membesar bisa-bisa nanti meletus deh, hehehe. Nah berikut ini adalah beberapa manfaat uap air panas untuk membuat wajah tambah cantik :

Manfaat uap air panas untuk wajah:

  1. Pertama yang anda harus lakukan adalah dengan membersihkan wajah anda terlebih dahulu sebelumnya bisa menggunakan sabun atau yang lainya yang penting terlihat bersih.

  2. Kemudian siapkan air panas bisa di tuangkan di baskom atau tempat seperti mangkok tapi besar sekiranya wajah bisa masuk ke dalam wadah terseut. untuk hasil yang maksimal tambahkan tetesan essensial oil secukupnya saja.

  3. Setelah itu tengadahanlah wajah anda ke arah baskom tersebut untuk menghindari uap kemana-kemana silahkan menggunakan handuk untuk penutup rambut anda.

  4. Lakukan hal ini selama 10-15 menit yah, kemudian silahkan keringkan dengan handuk. Untuk lebih maksimal lagi silahkan memakai masker tujuanya untuk mengangkat komedo dan sel kulit mati ataupun debu yang menempel di pori-pori kulit anda.

  5. Setelah itu bilas sisa masker tersbut dengan air panas karena bisa menghilangkan sisa masker dengan cepat.

Cukup mudah dan simple kan untuk melakukan perawatan kulit wajah anda agar terlihat cantik dan alami hanya dengan menggunakan uap air panas sebagai bahan alami yang dapat membuat kulit wajah anda terlihat mempesona dan cantik.

Itulah tadi sedikit manfaat uap air panas untuk wajah yang bisa anda lakukan untuk muka juga yang sedang berjerawatan, semoga bermanfaa artikel nya.

Rabu, 2 November 2016

Kenaikan Harga Minyak Adalah Proses Untuk Kesejahteraan Rakyat- Najib Razak


Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan kenaikan harga minyak yang diumumkan malam semalam merupakan satu proses pengukuhan ekonomi bagi jangka pendek dan sederhana yang akhirnya bertujuan memberi kesan positif kepada kesejahteraan rakyat.

Sekiranya ekonomi negara terjejas, ia akan mendatangkan kesan buruk kepada rakyat sepertimana keadaan di sesetengah negara luar yang menerima kesan amat berat apabila mereka gagal menangani ekonomi mereka dengan baik.

Komitmen kerajaan untuk melaksanakan konsolidasi fiskal akan diteruskan bagi mencapai sasaran difisit fiskal dalam lingkungan tiga peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasa (KDNK) pada 2015 dan belanjawan berimbang menjelang 2020, kata beliau.

"Kita mesti faham ini bukan soal politik, tapi soal masa depan negara, kalau ekonomi terjejas ia akan datangkan kesan buruk kepada rakyat," katanya.

Proses mesti rasionalisasi subsidi sememangnya merupakan sebahagian daripada dasar kerajaan yang dimuktamadkan, namun kerajaan bertekad untuk melaksanakan secara berperingkat-peringkat bagi memastikan kesannya tidak membebankan.

"Kita nak tentukan bahawa kesan yang merupakan bebanan kepada rakyat ini, kita pastikan di tahap paling minimum dan kita akan besarkan lagi jaringan keselamatan sosial, seperti yang saya katakan tadi, termasuk kenaikan kadar pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia BR1M," tambahnya lagi.

-AANS-

Kredit: Media Info Semasa

Jumaat, 28 Oktober 2016

[VIDEO] PEMANDANGAN KAMPUNG TABUAN MELAYU MELALUI UDARA

[VIDEO] PEMANDANGAN KAMPUNG TABUAN MELAYU MELALUI UDARA


Walau terbang tinggi sekalipun kita, ingatlah dimana kita semua bermula serta tetap 'Terbang Tunduk' dan berpijak di bumi yang bertuah ini... Walau dimana saja kita semua berada, kampung halaman tetap sentiasa dekat dihati, dirindui dan diingati sampai bila-bila...

Semoga video tuk sedikit sebanyak menghilangkan kerinduan kitak urang yang jauh dari kampung dan yang meranto di negeri urang... Selamat Nangga!!!(Y) (Y) (Y)

I Love My Tabuan Village ðŸ’šðŸ’›

Video tuk boleh juak ditangga di Facebook Page Kamek Miak Tebuan di link debah tuk...
PEMANDANGAN KPG TABUAN MELAYU DARI UDARA

Rabu, 26 Oktober 2016

Lagenda Boyan Kayong

Gambar sekadar hiasan
Legenda Boyan Kayong

Boyan Kayong, satu legenda hantu bangkit (juga disebut sebagai orang kayong) yang misteri di Sarawak. Ia dikaitkan dengan penduduk asal Kampung Boyan dan Kampung Gersik yang datangnya dari Pulau Boyan, Kabupaten Gresik di Jawa Timur. Terdapat versi lain yang menyatakan bahawa istilah kayong itu berasal dari bahasa Melanau di bahagian Matu Daro, dikaitkan dengan golongan perabangan, kisah ikan sebelah dalam masyarakat Melanau dan sebagainya. Tetapi menerusi sedikit pembacaan di laman sesawang, nama Boyan Kayong ini bermula di sebuah tempat di Indonesia.

Pulau Boyan: Sejarah dan Fakta

Boyan atau Bawean, merupakan gelaran penduduk yang berasal dari Pulau Boyan. Boyan membawa maksud 'ada sinar matahari' dan pulau ini dikenali sebagai Pulau Puteri kerana golongan lelaki keluar merantau ke segenap tempat di Nusantara. Di dalam pulau ini terdiri dari masyarakat Jawa dan beberapa kumpulan minoriti. Sebagai contoh, orang Aceh yang mendiami pulau ini dikenali sebagai Boyan Aceh. Orang Benua Kayong dari Kalimantan Barat yang mendiami pulau ini pula dikenali sebagai Boyan Kayong.

Penduduk Boyan antara golongan yang tekun berlayar dan merantau. Kebanyakan dari mereka berlayar ke Malaysia dan Singapura, meneruskan keturunan dan bermastautin. Menurut kajian Encik Khazin Mohd Tamrin dari Universiti Utara Malaysia pada tahun 1988, bancian pada tahun 1947 menunjukkan populasi kemasukan orang Jawa ke Sarawak meningkat, khususnya di Kuching dan membina penempatan- seperti Kampung Jawa, Kampung Semarang, Kampung Boyan, Kampung Gersik dan lain-lain. Kebanyakan penduduk Kampung Jawa dan Semarang berasal dari bahagian Jawa Tengah manakala penduduk Kampung Boyan dan Gersik pula berasal bahagian Jawa Timur dan Jawa Barat. Perbezaan penduduk Jawa pada penempatan dipengaruhi oleh keadaan semasa seperti pengaruh Belanda dan Inggeris pada awal 1900an dan juga empayar jajahan Jepun pada awal 1940an.

Boyan Kayong: Di sebalik Legenda

Legenda Boyan Kayong ini kononnya bermula dengan kisah sebatang pokok kedondong gergasi yang membesar dari tahun ke tahun, menghalang cahaya matahari dan menyusahkan penduduk Boyan Kayong. Padahal selama ini Boyan membawa maksud 'ada sinar matahari' tetapi sejak pokok tersebut tumbuh, cahaya matahari semakin malap dan hasil tanaman tidak menjadi. Jadi, golongan lelaki Boyan Kayong memutuskan untuk menebang pokok kedondong tersebut tetapi usaha mereka tidak berhasil. Akhirnya, pokok kedondong itu bersuara pada hari ke-7dan memberitahu jika tubuhnya tumbang, sumpah bangkit akan bermula.

Walau bagaimanapun, penduduk tidak peduli. Pokok kedondong itu pun rebah ditebang dan penduduk mengadakan keramaian bagi meraikan kejayaan tersebut. Entah tiba-tiba, apabila menjelang malam, pokok kedondong bangkit semula selepas ditebang dan keesokan harinya, pokok itu ghaib. Sepertimana pokok tersebut bangkit selepas mati ditebang, penduduk di situ mula merasakan keanehan dalam hidup mereka. Sumpah pokok tersebut benar-benar terjadi, dan keturunan hantu bangkit pun bermula. Walaupun sumpah itu dikatakan mengejar selama 7 keturunan, ternyata sumpah itu masih berterusan sehingga ke hari ini.

Biasanya, keturunan Boyan Kayong dapat merasakan keanehan tersebut sebelum mati. Dikatakan, kebangkitan mereka dapat dihalang dengan mencucuk jarum emas pada hujung ibu jari kaki. Walaupun kesahihan perkara ini tidak dapat dipastikan dan ia kedengaran tahyul, semua kejadian ini datangnya dari kekuasaan Allah SWT. Wallahu'alam.

Kisah Penglipur Lara Hantu Bangkit

Kisah Satu

Hantu bangkit terkenal di Kuching pada era 70an dan 80an. Malah, semasa awal 90an, kisah ini masih berlaku, terutama sekali di Kampung Boyan dan Kampung Gersik. Pada sekitar tahun 70an, atuk admin (sebelah mak) suka bermukun dan menopeng. Aktiviti bermukun dan menopeng itu sering dianjurkan di Kampung Boyan. Pada suatu malam, atuk pergi ke Kampung Boyan sendirian menaiki perahu tambang dan aktiviti bermukun itu selesai pada lewat malam. Ketika atuk dalam perjalanan menuju ke Pengkalan Cik Omar (kini dikenali sebagai Pangkalan Boyan), atuk dikejar oleh hantu bangkit yang bersuara sengau dan berbau busuk. Atuk berjaya melepaskan diri dengan bantuan pokok pisang dan kembali semula ke Pangkalan Batu dengan selamat.

Kisah Dua

Sambungan dari kisah di atas, hantu bangkit biasanya mengejar sambil memekik-mekik apabila terserempak dengan manusia. Dikatakan hantu bangkit akan menangkap dan memeluk manusia sehingga mati. Ada banyak cara untuk mengelakkan diri dari dipeluk oleh hantu bangkit. Sebagai contoh, bantal peluk jadi pengganti. Tetapi jika perkara itu berlaku di kawasan luar, orang tua-tua menyarankan agar mencari pokok pisang berhampiran bagi menyelamatkan diri dari dipeluk oleh hantu bangkit.

Kisah Tiga

Entah betul entah tidak, ciri-ciri keturunan Boyan Kayong yang asli dapat dilihat menerusi lekuk bawah mata yang sedikit lebam dan renungan mata yang suram. Kononnya, kita tidak boleh menerima hadiah pemberian atau memulangkan semula apa yang kita pinjam dari orang yang berketurunan Boyan Kayong kerana terdapat kemungkinan kitalah orang pertama yang akan dikunjungi oleh orang tersebut apabila menjadi hantu bangkit. Dikatakan hantu bangkit akan datang ke rumah pada sebelah malam (selepas kematiannya pada sebelah siang) dan memekik-mekik meminta barangnya dipulangkan. Ketika zaman kolonial British di Kuching (zaman kolonial bermula dari era 50an sehingga 70an), hantu bangkit ini dikenali sebagai Hamlet.

Hantu Bangkit vs. Boyan Kayong

Kisah hantu bangkit ini jarang didengari di Kuching. Mungkin keturunan Boyan Kayong itu sendiri cuba melupakan cerita ini, atau pemodenan serta teknologi telah menutup kisah-kisah tersebut. Walaupun kisah Boyan Kayong dilihat sebagai legenda dan sebahagian daripada mitos Sarawak, kejadian hantu bangkit adalah kisah benar yang pernah terjadi di Kuching. Keturunan Boyan Kayong itu sendiri biasanya tahu tentang perkara tersebut (FYI, tidak semua golongan perabangan berketurunan Boyan Kayong). Walaupun kejadian hantu bangkit ini berlaku terlebih dahulu di Sibu (pada era 50an) manakala di Kuching pula bermula pada era 70an, masalah ini ternyata berlanjutan lebih lama di Kuching.

Mungkin amalan manusia dan menuntut ilmu yang salah menjadi punca legenda ini wujud dan menjadi ingatan.

Khamis, 20 Oktober 2016

Bajet 2017 Mesra Hartanah, Beri Kesan Positif Ke Atas Penjualan Hartanah di Sarawak

 Kamek Miak Tebuan

KUCHING: Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Sarawak (SHEDA) berharap untuk melihat bajet yang dapat merangsang pasaran hartanah tempatan, yang perlahan sejak beberapa tahun lalu terutamanya disebabkan oleh ramai pembeli yang berpotensi mempunyai kesukaran untuk mendapatkan pembiayaan rumah.
Dengan Bajet 2017 yang akan diumumkan esok, SHEDA percaya bahawa ia akan menjadi lebih mesra dari segi hartanah dan kewangan, di mana garis panduan pembiayaan perumahan yang ketat yang dikenakan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) menjadi salah satu cabaran utama kepada pemaju.
“Adalah dijangkakan bahawa jika Bajet 2017 mesra hartanah, terutamanya dengan kelonggaran garis panduan pembiayaan perumahan dan lain-lain, ia akan memberi kesan yang positif ke atas penjualan hartanah di Sarawak.
“Transformasi seperti ini perlu untuk menggerakkan industri hartanah tempatan dan ekonomi di negeri ini,” kata Pengerusi SHEDA Cawangan Kuching Dr Christopher Ngui ketika ditemu bual.
Dari segi kewangan dalam pasaran hartanah, beliau berkata, realitinya adalah kegagalan untuk mendapatkan pinjaman perumahan oleh bakal pembeli dari bank-bank, yang bermakna jualan pemaju ‘kembali kepada stok’.
Oleh itu, katanya pasaran hartanah berharap untuk melihat kelonggaran garis panduan pembiayaan rumah yang membolehkan lebih ramai pembeli berpotensi untuk layak mendapatkan pinjaman rumah kali pertama mereka.
Selain itu, beliau berkata sektor hartanah juga berharap agar melihat peningkatan dalam peratusan pinjaman rumah kali pertama kepada 95 peratus, 85 peratus untuk rumah kedua, diikuti oleh 70 peratus bagi mereka yang membeli hartanah ketiga.
Pada masa sama, pasaran hartanah juga berharap agar pembeli rumah kali pertama diberikan lanjutan tempoh pinjaman daripada 35 tahun kepada 40 tahun.
Ngui menambah perubahan peratusan dana dalam Akaun 1 dan Akaun 2, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) juga diperlukan dengan meningkatkan Akaun 2 daripada 30 peratus kepada 50 peratus daripada baki KWSP bagi membantu pembeli rumah pertama mendapatkan lebih dana untuk membayar bayaran pendahuluan.
Dari perspektif pemaju, SHEDA berharap Bajet 2017 akan tampil dengan langkah-langkah yang boleh mengurangkan kos pematuhan menjalankan perniagaan seperti kos utiliti sumbangan modal serta pengurangan dalam keperluan kawasan lapang dan infrastruktur kegunaan awam yang akan dibina oleh pemaju di kawasan bandar di mana tanah adalah sukar didapati dan mahal.
“Kelonggaran ini sekurang-kurangnya untuk merangsang industri pembangunan hartanah yang melibatkan harta bukan kediaman,” kata Ngui.
Selain itu, persatuan itu berharap Bajet 2017 akan mengumumkan langkah-langkah untuk membolehkan rumah kos rendah dan mampu milik menikmati status sifar GST.
“Ini untuk mengelakkan peningkatan dalam kos pembinaan hartanah,” katanya.
Dari segi cukai pula, Ngui berkata SHEDA berharap bajet kali ini akan mengumumkan langkah-langkah untuk membenarkan potongan cukai pendapatan bagi faedah pinjaman perumahan sebagai perbelanjaan utama yang diperlukan, seperti yang telah diamalkan oleh negara-negara lain seperti Australia.
Ia juga berharap 100 peratus pengecualian duti setem bagi perjanjian pinjaman pemilik rumah kali pertama ‘, memorandum pemindahan, surat ikatan penyerahan hak, dan pengurangan yang sama untuk hartanah kediaman lain.
Sementara itu, mengenai kemungkinan lebih banyak pengumuman dalam isu perumahan mampu milik, Ngui berkata memandangkan harga rumah telah di aliran meningkat sejak 10 tahun yang lalu, maka ia semakin lebih sukar bagi orang biasa untuk memiliki rumah kerana peningkatan pada bahan binaan dan kos buruh, kos berkuasa pematuhan, GST, inflasi dan lain-lain.
“Oleh itu, rumah mampu milik adalah penting untuk manfaat orang ramai agar dapat memiliki rumah sendiri seperti melalui skim PRIMA yang kerajaan laksanakan kini.
“SHEDA menyokong dasar perumahan yang baik seperti PRIMA.
“Oleh itu, SHEDA berpendapat bahawa pemaju hartanah tidak hanya boleh diberikan insentif oleh kerajaan sebaliknya menggalakkan mereka untuk membina lebih banyak rumah mampu milik di Sarawak,” katanya.

Kredit: UB

Rabu, 19 Oktober 2016

SERVIS DAN MENANG!

Assalamualaikum dan Salam Sejahtera tuan/puan...


Berita baik kepada pengguna minyak castrol. Castrol Malaysia mengadakan 'Servis & Menang' special untuk semua pelanggan yang menggunakan brand Castrol. Pelbagai hadiah menanti anda! Jadi... Apa tunggu lagi.. Ambil peluang ini dan ikut 4 langkah seperti berikut:

STEP 1

STEP 2


STEP 3


STEP 4

Hadiah-hadiah yang menanti anda pastinya yang terbaik dari Castrol Malaysia. Dapatkan 4 utas jam tangan jenama Luxury dan pelbagai lagi hadiah yang sangat menarik.




Jadi... apa tunggu lagik... Sertai Peraduan ini... Sebarang info berkenaan dengan peraduan boleh melawat di page Castrol Malaysia ini...

SELAMAT MAJU JAYA YERRRR!!!

Selasa, 18 Oktober 2016

Bekas Raja Pecut Watson Nyambek Menerima Sebuah Rumah


MIRI: Bekas Raja Pecut, Watson Nyambek telah diberi penghormatan dengan menerima sebuah rumah di atas sumbangan beliau kepada negara dalam bidang sukan.

Kumpulan Syarikat NAIM dan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) telah bersama-sama menyumbang sebuah rumah setingkat yang dilengkapi perabot sepenuhnya untuk Watson berdasarkan pencapaian beliau.

Watson memecah rekod 100m pecut dengan catatan 10.30 saat sejak 15 Julai, 1998, yang kekal tidak terhenti selama 18 tahun yang lalu sebelum Khairul Hafiz Jantan dari Melaka memecahkan rekod beliau semasa Sukma di Sarawak tempoh hari.

Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem, Pengerusi Naim, Datuk Amar Abdul Hamid Sepawi dan Pengerusi SPNB, Datuk Dr. Abdul Latif Ahmad turut bersama-sama menyerahkan Replika Kunci kepada Watson di Miri hari ini (18 Okt).

Photo by theborneopostdotcom

Isnin, 17 Oktober 2016

Jambatan Batang Sadong Akan Terus Dipantau


Pengguna diminta memaklumkan JKR jika terdapat keperluan penambahbaikan jambatan
SADONG JAYA: Menteri Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof meminta pengguna Jambatan Batang Sadong yang baharu dibuka mulai semalam memberi maklum balas kepada kementerian melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak sekiranya terdapat keperluan penambahbaikan jambatan tersebut.
Menurutnya, maklum balas daripada pengguna penting dalam membantu memantau keadaan jambatan sepanjang 1.48 kilometer yang menelan kos sebanyak RM211,385,628.60 itu dari semasa ke semasa.
“Kebiasaannya kita akan memantau selama dua bulan dan dari situ nanti kita akan dapat maklum balas daripada pengguna, kalau ada perlu penambahbaikan kita akan buat dan sekiranya tidak ia terus dibuka untuk kegunaan orang awam,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Praperasmian Jambatan Batang Sadong yang merupakan jambatan terpanjang pertama merentasi sungai di Malaysia di pekarangan jambatan itu di sini semalam.
Mengulas lanjut mengenai jambatan itu, Fadillah berkata, pihaknya telah dimaklumkan bahawa audit teknikal sudah mengesahkan bahawa Jambatan Batang Sadong selamat dan boleh dibuka kepada orang ramai.
Malah, beliau memberitahu bahawa selepas mengadakan tinjauan di jambatan berkenaan mendapati terdapat keperluan untuk penambahbaikan di tempat lorong pejalan kaki.
“Bila kita berjalan ada perkara-perkara kecil yang kita perlu tambah baik yang boleh mendedahkan khususnya risiko kepada orang berjalan kaki.
“Yang mana kita perlu tambah baik ada beberapa perkara yang telah kita tegur tadi dan untuk itu saya hendak berterima kasih kepada JKR Sarawak yang menjadi agensi teknikal memantau projek ini,” tambahnya.
Selain itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Petra Jaya memberitahu, Jambatan Batang Sadong dijangka akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Ketua Menteri Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem.
“Jambatan ini sebahagian daripada aku janji Perdana Menteri dengan sokongan Ketua Menteri atas permintaan pemimpin masyarakat kita dari peringkat Parlimen dan Dewan Undangan Negeri serta pemimpin masyarakat setempat.
“Maka, jambatan ini dilaksanakan dan sebab itu kita mahu memberi penghormatan kepada Perdana Menteri dan Ketua Menteri sendiri untuk merasmikan, kita berharap kita akan tetapkan tarikh ini nanti,” katanya.
Hadir sama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Nancy Shukri, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo, ADUN Simunjan Awla Dris, ADUN Lingga Simoi Peri,Pengarah Jabatan Kerja Raya Sarawak Zuraimi Sabki dan Residen Samarahan Abdul Rahman Sebli Senusi.
Sementara itu, menurut Temenggung Chek Bujang, Jambatan Batang Sadong merupakan impian penduduk khususnya di kawasan Sadong Jaya, Simunjan dan Sebuyau.
“Ia sangat istimewa untuk kami penduduk di sini kerana banyak membantu memudahkan lagi sistem perhubungan dari segi menjimatkan masa daripada menggunakan perkhidmatan feri.
“Inilah yang kita amat nanti-nantikan dan akhirnya tercapai jua. Kami sangat gembira,” ujarnya.

Kredit: UB

SUKA CATATAN KMT DI ATAS TOK CUMA KLIK

Komen Ahli KMT