Sabtu, 17 Disember 2011

BR1M DIBERI SECARA ADIL: WAN JUNAIDI

Terima Kasih: Wan Junaidi menyerah lesen, jaket keselamatan kepada salah seorang penerima pada
majlis penyerahan elaun sara hidup nelayan kawasan PNK Sri Muara semalam. Turut kelihatan
(dari kiri) Jam dan Mohd Rizal.

KUCHING: Kerajaan jamin tiada diskriminasi dalam pengagihan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M.
    Timbalan Speaker Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata,  rakyat Malaysia tidak mengira kaum atau agama boleh memohon BR1M yang telah diluluskan dalam Belanjawan 2012 iaitu sebanyak RM500 setiap ketua keluarga asalkan memenuhi syarat.
    “Rakyat di negeri ini tidak kira warna kulit, tinggal di bandar atau di luar bandar boleh memohon BR1M ini asalkan pendapatan kurang daripada RM3,000 (dan berumah tangga),” katanya.
    Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penyerahan elaun sara hidup nelayan di Dewan Perbadanan Produktiviti Malaysia, Demak Laut semalam.
Pada masa yang sama, beliau menyeru rakyat di negeri ini yang layak memohon agar segera mengisi borang BR1M itu.
    Jelasnya, ia bagi memastikan golongan sasar tidak tersisih daripada menerima bantuan daripada kerajaan.
    “Saya berharap semua pemimpin masyarakat seperti ketua kaum, ketua kampung, penghulu dan sebagainya memainkan peranan mereka dalam memastikan penduduk di kawasan masing-masing layak menerima bantuan ini dan mendapat apa yang sepatutnya,” tegasnya.
    Selain itu, Wan Junaidi yang juga Ahli Parlimen Santubong menyarankan agar rakyat di negeri ini terus menyokong kerajaan sedia ada demi mencapai matlamat menjadi negara maju menjelang 2020.
    “Janganlah kita mudah percaya dengan kata-kata atau janji-janji pihak tertentu (pembangkang) yang belum ada pengalaman memimpin negara kerana kerajaan yang sedia ada sekarang (di bawah Barisan Nasional) sudah terbukti membangunkan rakyatnya,” ujarnya.
    Dalam majlis itu, sebanyak RM37,600 diagihkan kepada 188 nelayan bagi kawasan Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sri Muara, Demak Laut.
Manakala seramai 146 nelayan menerima lesen sampan berserta jaket keselamatan.
Justeru, Wan Junaidi berharap PNK di negeri ini menetapkan hala tuju untuk kekal utuh bagi membangunkan ekonomi para nelayan dalam perubahan global yang kian mencabar pada masa kini.
    Hadir sama Pegawai Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Wilayah Satu Kuching Mohd Rizal Sahari, Pengerusi PNK Sri Muara Jam Hajimi dan tetamu kehormat lain.

Sumber: The Borneo Post
by Rusnan Mustafa. Posted on December 17, 2011, Saturday

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

SUKA CATATAN KMT DI ATAS TOK CUMA KLIK

Komen Ahli KMT