PERINGATAN!
|
PALSU: Kad pengenalan yang dikatakan digunakan oleh individu menyamar tertera ‘Pegawai Farmasi Malaysia’ di bahagian atas kad dan jawatan ‘Pegawai Perhubungan Awam’ adalah palsu.
|
KUCHING: Orang ramai disaran membuat laporan dan tidak membenarkan individu datang ke kawasan atau dalam rumah yang mendakwa sebagai pegawai Jabatan Kesihatan, jika kad pengenalannya meragukan.
Pengarah Kesihatan Negeri Dr Jamilah Hashim berkata, mereka boleh memastikan kesahihan kad dibawa individu misalnya jabatan tidak pernah sama sekali meletakkan nama jawatan ‘Pegawai Farmasi Malaysia’ atau mana-mana jawatan atas kad berkenaan.
“Pegawai farmasi tidak boleh ada satu lagi jawatan tertera di kad berkenaan selain pegawai farmasi juga tidak diarah untuk ke lapangan bagi tujuan memeriksa nyamuk.
“Sekiranya ada individu yang membawa kad sebegitu, kita mohon mereka melaporkan dan jangan membenarkan memasuki kawasan rumah atau ke dalam rumah,” katanya melalui aplikasi WhatsApp kepada Utusan Borneo di sini, kelmarin.
Sebelum ini viral dalam laman sosial mendakwa terdapat beberapa individu iaitu dalam tiga hingga empat orang pergi ke rumah mendakwa mereka memeriksa pembiakan nyamuk aedes dengan menggunakan kad pengenalan Kementerian Kesihatan yang palsu.
Menurutnya, sebelum ini isu sama berlaku beberapa tahun lepas yang dikatakan di negeri lain di Semenanjung Malaysia.
“Saya juga pernah melihat sebaran sebegini beberapa tahun lalu yang dikatakan berlaku di Semenanjung.
“Diingatkan kementerian atau jabatan tidak akan meletakkan nama jawatan di bahagian atas kad pengenalan pegawainya selain pegawai tidak mempunyai dua jawatan dalam satu kad berkenaan,” katanya.
Portal Sabah Insider Online turut dipetik sebagai berkata, orang ramai harus berhati-hati kerana terdapat dua lelaki dan dua wanita menyamar sebagai Pegawai Perhubungan Awam Farmasi Malaysia di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia untuk datang ke rumah memeriksa nyamuk aedes.
Keempat-empat individu itu didakwa menyamar sama ada melakukan penipuan suri rumah atau mahu menyamun.
Kredit: UB
Tiada ulasan:
Catat Ulasan