KUCHING: Seorang penjawat awam berusia 20an berdepan hukuman buang kerja selepas membuat laporan palsu mendakwa dirinya dirompak sebaliknya bermain judi, kata Ketua Polis Daerah Kuching ACP Abang Ahmad Abang Julai.
Beliau berkata, suspek membuat laporan palsu kononnya pada 27 hingga 29 Ogos dirompak dan penjenayah melarikan wang tunai RM1,000 miliknya.
Malah menurutnya, tujuan suspek yang bertugas di Semenanjung Malaysia berada di bandar raya ini adalah untuk mengikuti kursus namun sebaliknya menghabiskan duit dengan bermain judi.
"Saya juga ingin menasihati dalam perkara ini supaya jangan membuat laporan palsu kerana akan menganiayai diri sendiri seperti didenda dan kemungkinan dibuang kerja sebagai penjawat awam," katanya dalam sidang media hari ini.
Kes disiasat di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai enam bulan atau denda hingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Selain itu, Abang Ahmad menjelaskan, dalam laporan palsu itu suspek turut memberitahu dirinya ditahan oleh empat orang lelaki bersenjatakan parang dan menariknya ke dalam kereta sebelum diarahkan ke mesin atm untuk mengeluarkan sejumlah wang.
Kemudiannya dibawa ke bangunan kosong sekitar Batu 7 dan dikurung selama dua hari ini.
Menurut Abang Ahmad lagi, laporan palsu itu diserahkan kepada majikan suspek terbabit untuk tindakan selanjutnya.
Setakat ini sebanyak empat kes laporan palsu direkodkan Ibu Pejabat Polis Daerah Kuching.
Kredit: Sarawakiana
Tiada ulasan:
Catat Ulasan